Thursday, November 27, 2008

Tiada kutipan PIBG awal tahun

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Mulai tahun depan, sebarang kutipan bayaran tambahan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak lagi dibuat pada awal tahun, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Awal Penggal Persekolahan 2009 pada Isnin lalu memutuskan bahawa bayaran tambahan tersebut akan dikutip pada pertengahan tahun setelah mendapat persetujuan mesyuarat PIBG.

Katanya, melalui langkah itu, PIBG dan ibu bapa diberi peluang untuk menentukan jumlah yang akan dikutip daripada ibu bapa.

''Selain mengurangkan beban tanggungan ibu bapa, khususnya pada awal penggal, langkah ini juga selaras dengan usaha Kementerian Pelajaran mengupayakan peranan dan tanggungjawab PIBG dalam sama-sama membantu membangunkan sistem pendidikan negara," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Cuba ke Malaysia, Carlos Alfredo di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, perkara berkenaan diputuskan selepas jawatankuasa itu membincangkan pendekatan terbaik mengurangkan perbelanjaan awal tahun ibu bapa dalam menanggung perbelanjaan persekolahan, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.

Beliau berharap, PIBG tidak menjadikan keputusan kerajaan itu satu isu kerana pada masa sama kementerian terpaksa menanggung peruntukan besar bagi sesi persekolahan 2009.

''Perkara ini perlu diperjelaskan ke peringkat akar umbi dan saya telah meminta pengarah di Jabatan Pelajaran negeri untuk memaklumkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) supaya tidak ada mana-mana pihak terkeliru,'' katanya.

Hishammuddin berkata, beliau juga telah mengarahkan supaya kementerian melihat cara yang sesuai untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG secara telus.

Isu yuran tambahan PIBG sering menjadi rungutan setiap kali bermula sesi persekolahan kerana jumlahnya mencecah sehingga RM180 dan membebankan ibu bapa yang tidak berkemampuan.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling mengenai garis panduan amaun maksimum atau siling yang boleh dikutip daripada ibu bapa.

Kementerian menetapkan amaun maksimum bayaran tambahan bagi sekolah rendah ialah RM38.50 manakala bagi sekolah menengah pula ialah RM55.50.

Kerajaan telah memansuhkan yuran rasmi bagi sekolah rendah dan menengah bermula sesi persekolahan 2008.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, bagi sesi persekolahan 2009, kementerian telah menyediakan peruntukan besar bagi tujuan bantuan tambahan antaranya RM1.06 bilion untuk Bantuan Makanan Asrama, RM270 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan, RM262 juta untuk Biasiswa Pelajar, RM246 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen dan RM200 juta untuk tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Beliau berkata, peruntukan lain adalah RM72 juta untuk Bantuan Murid Orang Kurang Upaya (OKU), RM27 juta untuk Program Susu Sekolah dan RM20 juta untuk Bantuan Pakaian Seragam Unit Beruniform.

''Selain itu, kementerian turut menyalurkan RM96.319 juta untuk perluasan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

''Pada masa sama kementerian turut membantu pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dari keluarga miskin iaitu berpendapatan kurang RM600 sebulan," katanya.

No comments: