Saturday, November 29, 2008

Boikot PTK

Artikel Oleh Ikrar

Saya sokong Cuepacc hendak boikot PTK. Bukan apa, ramai yang jadi mangsa sisitem peperiksaan ini. Peringkat awal dulu, ramai yang lulus kerana soalan dibocorkan (saya ceritakan mengenai jabatan saya saja). Mereka yang baik dengan pusat peperiksaan mendapat soalan bonos, malah pemeriksa kertas sendiri tidak amanah.

Di sini saya ingin memberi contoh orang yang teraniaya bila PTK diperkenalkan. Ketika sistem temuduga diamalkan Si A naik pangkat setelah 7 tahun bekerja. Kawannya Si B sudah 15 tahun pun tak lulus2 temuduga tapi dinaikkan juga atas dasar 20 tahun perkhidmatan.

Bila PTK pula, dah jadi terbalik, Si A kantoi dan Si B lulus. Manakan tidak, enam bulan Si B tak buat kerja asyik membaca dan menghafal nak lulus PTK. Si A kerjanya macam biasa malah ada ketika ganti ketua cawangan hadiri mesyuarat dengan orang-orang besar di Putrajaya. Si A memang hebat dalam segi bekerja, malah ketelitian, ketegasan di puji oleh ketua cawangan. Malah dia beri ceramah untuk satu-satu subjek yang menjadi kemahirannya. Malangnya untuk PTK sampai sekarang kantoi. Budak-budak hingusan yang tak tahu apa-apa mencanap naik pangkat tinggalkannya jauh di belakang.

Si A makin melemah dari segi ingatan kerana alami beberapa penyakit. Tapi dari segi mempraktikkan kerja dia sentisa tip-top. Kalau bos kata ini kena bayar - dia tak mudah tunduk. Dia rujuk perbendaharaan, rujuk peguam untuk dapatkan kepastian. Dia tak mahu terperangkap dengan tingkah laku. Apakah orang2 macam ni tidak diperlukan dalam perkhidmatan awam?

PTK tidak mampu melahirkan pekerja mahir tapi penghafal2 kertas sahaja. Mereka inilah yang duduk goyang kerusi dan tiap-tiap bulan dapat gaji. Malang sungguh Malaysia mencari kaedah menaikkan pangkat pekerja JPA dengan cara kartun dan melucukan. Sepatutnya pekerja diasak dengan soalan2 yang dapat membuktikan pekerja berkenaan dapat dikesan betul-betul bekerja dan mempunyai minat serta tumpuan yang tinggi dalam tugas yang dipikulnya.

Thursday, November 27, 2008

Tiada kutipan PIBG awal tahun

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Mulai tahun depan, sebarang kutipan bayaran tambahan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak lagi dibuat pada awal tahun, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Awal Penggal Persekolahan 2009 pada Isnin lalu memutuskan bahawa bayaran tambahan tersebut akan dikutip pada pertengahan tahun setelah mendapat persetujuan mesyuarat PIBG.

Katanya, melalui langkah itu, PIBG dan ibu bapa diberi peluang untuk menentukan jumlah yang akan dikutip daripada ibu bapa.

''Selain mengurangkan beban tanggungan ibu bapa, khususnya pada awal penggal, langkah ini juga selaras dengan usaha Kementerian Pelajaran mengupayakan peranan dan tanggungjawab PIBG dalam sama-sama membantu membangunkan sistem pendidikan negara," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Cuba ke Malaysia, Carlos Alfredo di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, perkara berkenaan diputuskan selepas jawatankuasa itu membincangkan pendekatan terbaik mengurangkan perbelanjaan awal tahun ibu bapa dalam menanggung perbelanjaan persekolahan, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.

Beliau berharap, PIBG tidak menjadikan keputusan kerajaan itu satu isu kerana pada masa sama kementerian terpaksa menanggung peruntukan besar bagi sesi persekolahan 2009.

''Perkara ini perlu diperjelaskan ke peringkat akar umbi dan saya telah meminta pengarah di Jabatan Pelajaran negeri untuk memaklumkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) supaya tidak ada mana-mana pihak terkeliru,'' katanya.

Hishammuddin berkata, beliau juga telah mengarahkan supaya kementerian melihat cara yang sesuai untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG secara telus.

Isu yuran tambahan PIBG sering menjadi rungutan setiap kali bermula sesi persekolahan kerana jumlahnya mencecah sehingga RM180 dan membebankan ibu bapa yang tidak berkemampuan.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling mengenai garis panduan amaun maksimum atau siling yang boleh dikutip daripada ibu bapa.

Kementerian menetapkan amaun maksimum bayaran tambahan bagi sekolah rendah ialah RM38.50 manakala bagi sekolah menengah pula ialah RM55.50.

Kerajaan telah memansuhkan yuran rasmi bagi sekolah rendah dan menengah bermula sesi persekolahan 2008.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, bagi sesi persekolahan 2009, kementerian telah menyediakan peruntukan besar bagi tujuan bantuan tambahan antaranya RM1.06 bilion untuk Bantuan Makanan Asrama, RM270 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan, RM262 juta untuk Biasiswa Pelajar, RM246 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen dan RM200 juta untuk tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Beliau berkata, peruntukan lain adalah RM72 juta untuk Bantuan Murid Orang Kurang Upaya (OKU), RM27 juta untuk Program Susu Sekolah dan RM20 juta untuk Bantuan Pakaian Seragam Unit Beruniform.

''Selain itu, kementerian turut menyalurkan RM96.319 juta untuk perluasan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

''Pada masa sama kementerian turut membantu pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dari keluarga miskin iaitu berpendapatan kurang RM600 sebulan," katanya.

Sunday, November 23, 2008

Nik Safiah tidak setuju PPSMI diteruskan

KUALA LUMPUR - Tokoh akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim (gambar) tetap tidak bersetuju Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan.

Ini kerana beliau berpendapat, pendekatan untuk menjadikan pelajar mahir dalam bahasa Inggeris menerusi mata pelajaran Sains dan Matematik adalah kurang tepat.

"Matematik dan Sains ada banyak terma yang agak sukar untuk pelajar fahami, lebih-lebih lagi pelajar di luar bandar," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberitahu PPSMI wajar diteruskan bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan.

Dalam pada itu, tanpa menafikan kepentingan Bahasa Inggeris, Nik Safiah mencadangkan agar penggunaan bahasa itu digunakan dalam mata pelajaran lain melibatkan bahasa seperti Sejarah atau Sastera.

Beliau juga mencadangkan kelas Bahasa Inggeris dipertingkatkan mutu supaya bahasa antarabangsa itu dapat dikuasai oleh pelajar secara lebih berkesan.

"Jangan kacau Sains dan Matematik. Kelas Bahasa Inggeris sendiri perlu dipertingkatkan untuk mendapat kesan penggunaan bahasa Inggeris yang baik di kalangan pelajar," katanya.

Thursday, November 20, 2008

Guru Melayu setuju CUEPACS boikot PTK

KUANTAN 20 Nov. - Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB) menyokong tindakan yang bakal diambil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk memboikot Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) jika ia tidak dimansuhkan tahun depan.

Presiden KGGMB, Sabri Mohd. Arsad berkata, pemansuhan PTK itu wajar difikirkan kerana ia banyak memberi tekanan dan mengetepikan jasa guru yang rata-ratanya telah berkhidmat lama dalam bidang pendidikan.

Katanya, pelaksanaan PTK dilihat tidak adil dan tidak relevan lagi terutamanya kepada golongan guru berusia kerana tidak dapat memberi tumpuan dalam peperiksaan sekali gus boleh menjejaskan kualiti kerja masing-masing.

''Mereka yang berusia turut mendapat pengiktirafan cemerlang apabila menunjukkan prestasi yang baik dalam tugas sebelum ini, tetapi dengan adanya PTK, ia telah membantutkan peluang tertentu dalam perkhidmatan.

''Sebaliknya, penjawat awam di kalangan orang muda yang hanya menunjukkan prestasi cemerlang menerusi keputusan Aras 4 dalam kedua kertas peperiksaan berkenaan terus diberi anjakan gaji," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, guru muda misalnya mempunyai daya berfikir dan ingatan yang baik, tetapi tidak aktif di luar tugas dalam memberikan sumbangan kepada pelajar.

''Natijahnya, guru-guru muda ini memperoleh tangga gaji lebih tinggi yang mungkin sama dengan gaji dengan golongan senior dan penjawat awam yang berusia," katanya.

Katanya, KGGMB amat mengalu-alukan tindakan CUEPACS yang mendakwa akan memboikot peperiksaan PTK jika ia tidak dimansuhkan tahun depan.

Thursday, November 13, 2008

Peringatan CUEPACS Kepada Kita

CUEPACS: Jangan mudah terpedaya skim cepat kaya

Oleh AU YEONG HOW

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengingatkan ahli-ahlinya agar jangan mudah terpedaya dengan taktik halus skim cepat kaya.

Presidennya, Omar Osman menegaskan, memandangkan ia adalah sesuatu yang serius, peringatan akan dibangkitkan pada Majlis Mesyuarat kesatuan itu yang berlangsung esok sehingga 15 November di Kota Kinabalu.

Katanya, skim cepat kaya itu antara lain menipu wang orang ramai dengan pujuk rayu menerusi Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

''Kami hendak seluruh jabatan dan kesatuan di peringkat negeri dapat menyampaikan mesej itu kepada ahli sekali gus mengelakkan mereka menjadi mangsa skim cepat kaya itu.

''Mana boleh kita mendapatkan pulangan yang begitu lumayan dalam masa yang singkat. Sekiranya kita menggunakan logik akal, kita akan sedar skim itu hanyalah satu helah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas surat pembaca bertajuk RM50 menjadi RM20,000? yang disiarkan di ruangan Forum Utusan Malaysia semalam. Pembaca yang hanya ingin dikenali sebagai Duda Buluh Kasap di sini mendedahkan skim piramid tersebut.

Katanya, Skim Mat Jenin itu hanya memerlukan seseorang melabur RM50 dan kemudian dijanjikan pendapatan lumayan RM20,000 selepas lima bulan. Akibatnya, katanya, hampir 4,000 pelabur yang kebanyakannya orang kampung berputih mata apabila 'kepala' skim cabut lari bersama duit mereka.

Sementara itu, Omar mengakui beliau pernah menerima SMS meminta nombor akaun banknya agar pihak yang tidak dikenali itu dapat memasukkan sejumlah RM30,000 kepadanya tetapi beliau mengabaikannya.

Malah, katanya, beliau turut menerima beberapa aduan daripada ahli-ahlinya tentang kewujudan SMS tersebut yang berlegar dan menggunakan modus operandi yang sama.

''Terbaru, dua bulan lepas, seorang ahli hampir menjadi mangsa setelah memberikan nombor akaunnya. Nasib baik, dia cepat-cepat menyuruh pihak bank membatalkan akaun banknya selepas menyedari sesuatu yang tidak kena," ujarnya.

Tegasnya, skim yang disangka cepat kaya itu hanya menyebabkan mangsa menjadi cepat bankrap dan pihaknya tidak dapat memberikan jumlah sebenar ahli-ahlinya yang menjadi mangsa skim cepat kaya itu setakat ini.

Tuesday, November 11, 2008

Memori Kursus Sehari Guru Pendidikan Islam Daerah

10 November 2008- Guru Pendidikan Islam Daerah Kinabatangan sekali lagi diberi peluang untuk meningkatkan profesional sebagai guru pendidikan Islam yang celik ICT sesuai dengan tuntutan zaman dan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia. Makmal komputer SMK Bukit Garam menjadi lokasi berlangsungnya kursus Peningkatan Profesion Guru Pendidikan Islam yang julung kali diadakan ini.

Kursus sehari anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kinabatangan telah berjaya mengumpul hampir 60 orang guru Pendidikan Islam dan j-Qaf dari seluruh daerah Kinabatangan.Dua slot kursus dibimbing sendiri oleh Guru Pendidikan Islam daerah Kinabatangan membuktikan bahawa Guru pendidikan Islam sudah lama bersedia menyahut seruan kerajaan dan tuntutan zaman tentang peri pentingnya penggunaan ICT dalam pendidikan.

Ust Fadil Izham dari SK Bukit Garam membentangkan Pengenalan Blog dan Kaedah Menyediakannya. Para peserta dibimbing membina email yang membolehkan para peserta membina blog peribadi. Tahniah diucapkan kepada Ust Fadil Izham yang dapat membentang dengan baik dan berkesan akan tajuk yang diamanahkan. Sekalipun, beliau dijemput secara tidak sengaja setelah penceramah yang sepatutnya En Al-Hasyim, penyelia ICT daerah tidak dapat hadir kerana mempunyai tugas yang lebih penting. Jika diperhatikan daripada nama blog yang disediakan oleh para peserta,majoriti peserta membina blog berasaskan sekolah masing-masing. Ini mungkin kerana menyedari bahawa mereka mewakili sekolah dan semangat kecintaan kepada tempat bertugas.

Slot kursus kedua dibentangkan oleh Ust Abdul Razak Ghazali dari SK Kuala Suan Lamba. Beliau membentangkan bagaimana untuk membuat catatan dan edit pada blog yang telah disediakan. Turut diajar cara untuk menyediakan fail dalam photopacet dan reka letak pada blog. Peserta mencuba apa yang diajar dan ada peserta yang sudah mendahului apa yang dibentangkan oleh penceramah.

Kita mengharapkan dengan kejayaan para peserta membina blog bakal melahirkan ramai lagi para blogger yang akan menyemarakkan medan dakwah selain memastikan bahan bantu mengajar yang disediakan oleh para guru Pendidikan Islam dapat dikongsi bersama secara meluas.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Tuan Hj Suharpi Lasuddang, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kinabatangan. Turut serta En Al-Hasyim, penyelia ICT daerah. Tuan Hj Suharpi turut melancarkan blog PGPIK dengan harapan blog yang dibina oleh PGPIK ini akan dapat dimunafaatkan sepenuh oleh guru pendidikan Islam untuk meningkatkan prestasi dan mutu perkhidmatan.
(Isi ucapan PPD akan disiarkan dalam posting yang akan datang...)

Sebelum berakhir majlis, para peserta mengambil kesempatan untuk bergambar kenang-kenangan dengan Tuan Hj Suharpi dan En Al-Hasyim di dalam makmal komputer SMK Bukit Garam.

Pihak Persatuan Guru Pendidikan Islam (PGPIK), mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pejabat Pelajaran Daerah khususnya Penyelia Agama En Kimarun kerana menganjurkan kursus seumpama ini. Semoga kursus dan usaha ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang dan penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan kuantiti dan kualiti ditahap yang terbaik. Syabas dan tahniah kepada guru Pendidikan Islam yang telah memberi komitmen dalam memastikan kursus ini berjalan lancar.

Renungan

Rambut sama hitam, hati lain-lain. Namun demikian kita satukan tujuan hidup kita...."Sesungguhnya solatku, amal ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah buat Allah Tuhan Semesta Alam". Walau apapun yang kita lakukan, sekiranya tujuan di atas menjadi pegangan hidup kita,nescaya kita akan tetap berada di jalan yang lurus.

Sunday, November 9, 2008

LAPORAN AKTIVITI PERSATUAN GURU PENDIDIKAN ISLAM

Program/Aktiviti
Tarikh Perlaksanaan
Catatan
01 Membuat Takwim Solat Zon Kinabatangan bagi tahun 1428 Januari Diedarkan
diseluruh Kinabatangan.
02 Menyelaras MTQ Peringkat Daerah Kinabatangan Febuari Perlantikan
Pengurusan dan Jemaah Hakim
03 Usrah Dwi Mingguan Muslimin dan Usrah Dwi Mingguan Muslimat Januari -
Oktober Perlaksanaan disekitar Pekan Kinabatangan
04 Fiqh Muslimat (Program Pembangunan Modal Insan ) 17 Mei 2008 Biro
Muslimat + JAKIM
05 Menyelaras Khatib Khutbah Jumaat Masjid Al Ghaffar Kinabatangan Setiap Jumaat Kerjasama dengan JAHEAIS
06 Menyelaras Penceramah untuk :

1. Kuliah Mingguan di Masjid
2. Ceramah hari-hari Kebesaran Islam ( maulidur
Rasul ,Ihya Ramadhan,Tazkirah Ramadhan
Isra’ Mi’raj dan Maal Hijrah )
- Kuliah Magrib mingguan

07 Menyertai Jembori Amal di Nunuk Ragam
Kerjasama Yayasan Amal Malasia dan JAKIM
08 Menganjurkan Kursus Perubatan Islam 09 OGOS 2008 Di SMK Lamag

09 Menganjurkan Majlis Perpisahan bagi Ust Bakri (Pengerusi PGPIK) dan Ustaz
Adnan Kerjasama AJK Masjid Al Ghaffar
10 Menyalurkan Sumbangan kepada pelajar Muslim di kawasan pendalaman
11 Menyalurkan Sumbangan kepada Mualaf di Kg Warisan Kinabatangan.
12 Memberi sumbangan Khairat Kematian kepada ahli yang ibu atau bapanya pulang
ke Rahmatullah.
13 Menganjur Perlawanan Badminton Persahabatan dengan Guru Pendidikan Islam
daerah Beluran Di Beluran
14 Menganjur Perlawanan Persahatan Bola sepak dengan pasukan SMK Bukit Garam
dan SK.Bukit Garam 2

Selamat Bermuktamar


الحمد الله رب العالمين , والصلاة والسلام على المبعوث رحمة الله للعالمين, وأشهد أن لا اله الا الله الملك الحق المبين, واشهد أن سيدنا محمدا رسول الله الصادق الوعد الامين

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Pertamanya,marilah kita mengatur syukur kepada Allah SWT atas Inayah dan IradatNya, dapatlah berkumpul di SMK Bukit Garam ini untuk melaksanakan dua agenda serentak. Kita dapat berkursus ICT dan juga mengadakan mesyuarat.

Sehubungan dengan itu, saya bagi pihak PGPIK mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah khususnya Tuan Hj Suharpi dan En Kimarun yang membuka ruang kepada kita untuk mengadakan program seumpama ini.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pentadbir sekolah yang telah membenarkan para ustaz dan ustazah meninggalkan sekolah pada hari ini. Kita maklum,dalam keadaan sekarang, pihak sekolah sibuk dengan pelbagai program dan mesyuarat yang pastinya menuntut komitmen guru-guru Pendidikan Islam.

Tidak lupa juga penghargaan kepada pihak SMK Bukit Garam yang telah menyediakan tapak program dan kemudahan internet kepada kita pada hari ini. Sokongan semua pihak dan komitmen yang ditunjukkan oleh para ustaz dan ustazah diharapkan dapat melancar dan memantapkan usaha pengembelingan tenaga para murabbi dalam memastikan tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Sidang Muktamar yang dirahmati,

Ruang muhasabah yang kita buka pada hari, diharapkan dapat dimunafaatkan dengan baik untuk melontarkan idea dan menjana minda sesuai dengan tema PGPIK "ulama Pewaris nabi". Adalah lebih penting dari itu ialah menjana wehdatul fikr dan wehdatul amal. Ini kerana kita tidak boleh hanya bijak melontarkan idea tetapi mestilah rajin, tekun dan istiqamah dalam melaksanakan gerak kerja

Firman Allah SWT:
13. Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah[1388] maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita.

Pada hari ini juga, kita akan membuat pemilihan dan menilai semula kepimpinan kita, setelah usia PGPIK ini menghampiri usia 8 tahun. Sepanjang 8 tahun kita berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi samaada dari dalam atau luar. Namun demikian sehingga ke hari ini, kita masih bertahan. Semua ini hasil daripada partisipasi kita semua yang tidak jemu menabur bakti dan berkorban tenaga dan wang ringgit. Justeru itu,sekali lagi saya berharap agar lebih ramai dari kalangan kita yang menawar diri untuk berkhidmat. Kepincangan dan kelemahan kepimpinan terdahulu kita sama-sama perbaiki dan kelebihannya kita gunapakai. Hakikat ini penting bagi mengelakkan kita terjerumus dalam kesilapan berulangkali.

Firman Allah dalam surah As-Sajdah ayat 24, Maksudnya:

24. Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar[1195]. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.

Sidang Muktamar yang dihormati,

Kesempatan ini,ingin saya menjelaskan,desus-desus yang mengatakan GPI berpecah kerana mempunyai dua kumpulan. Ini adalah tuduhan sambrono dan salah sangka yang perlu diperbetulkan.Justeru itu, saya mengharapkan para muktamar yang hadir dapat menjelaskan bahawa antara PGPIK dan Pasukan Kerja bagaikan isi dengan kuku,suami dengan isteri, aur dengan tebing, irama dan lagu , ombak dan pantai. kita saling perlu memerlukan antara satu sama lain.

Pertama: Matlamat penubuhan adalah berbeza, Pasukan kerja khusus kepada pasukan kurikulum yang berperanan meningkatkan kualiti akademik dan mutu P&P itu sendiri. Kewujudannya sama dengan kewujudan Pasukan Kerja Sains,matematik dan sebagainya. Sedangkan PGPIK lebih melihat kepada agenda kebajikan dan penyelarasan aktiviti ko-kurikulum bagi meningkatkan sahsiah ahli dan pelajar.

Keduanya: Melihat dari sudut sejarahnya, penubuhan PGPIK atas inisiatif pengerak pasukan Kerja yang melihat kekosongan dari sudut penyelarasan dan kebajikan.

Ketiganya: Keahlian Pasukan kerja adalah terhad kerana sukatan pelajaran yang berbeza dan sumber kewangan yang berlainan. PGPIK berfungsi menyatukan kesemuanya. Pasukan kerja Sekolah menengah dibawah pengawasan Jurulatih utama dan juga Pasukan Ketua Panitia Gabungan.

Justeru itu, saya melihat,bukanlah keperluan bagi kita untuk membubarkan salah satu kerana dibimbangi dilihat sebagai berpecah. Suami isteri yang masing-masing mempunyai kereta sendiri, adakah itu dikatakan suami isteri itu tidak bahagia, berpecah?? sedang arah tuju dan peranan yang berlainan. kita telah menggunakan medan usrah untuk merapatkan hubungan saliturrahim dan yang paling utama merapatkan jurang pemikiran. Kita tidak perlu melayan kemucut perjuangan. Perjalanan kita masih jauh. Kita bekerja bukan semata-mata menunaikan tuntutan makan gaji tetapi melaksanakan perintah Allah sebagai daie, murabbi ummah dan reformis masyarakat. Kita terus mara....teguran dan nasihat sememangnya diperlukan tetapi tidak semestinya kita menelan semua umpan kerana setiap benda yang dihidangkan itu rezeki. Mungkin juga dia racun yang bisa membunuh perjuangan.

Untuk akhirnya, selamat bermuktamar dan bermuhasabah. Tidak lupa juga,saya mengucapkan selamat bercuti dan majoriti besar ahli PGPIK adalah mereka yang akan menyeberangi Laut Cina Selatan untuk bercuti.Hati-hati dalam perjalanan. Ingat juga, sumbangan kita masih diperlukan warga Kinabatangan. bagi mereka yang tidak dapat pindah, yakinlah ada hikmah disebalik takdir Allah. Khidmat dan sumbangan anda masih diperlukan. Sekian.

وبالله التوفيق والهداية, والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Saturday, November 8, 2008

assalammualikum

apa kabar semua?test je

Ustaz/Ustazah Pentadbir Sekolah

Senarai Nama Ahli PGPIK Yang Telah Dilantik Menjadi Pentadbir Sekolah

Bil Nama Jawatan Sekolah
1 Ust Zulkarnain Mohd Noh PK HEM SK Sentosa Jaya
2 Ust Mohd Zaidi Harun PK HEM SK Buang Sayang
3 Ustzh Faridah Hj Jamil PK HEM SK Bukit Garam
4 Ust Rasidi Mohd Desa PK HEM SMK Sri Lamag
5 Ust Zaharullah Ihtnin PK 1 SK Paris
6 Ust Mohd Karimi Abd Rasyid PKHEM SK Singgah Manis

Selamat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Harapan kami di sekolah ustaz dan ustazahlah yang akan menjadi model dalam penerapan nilai dan ilmu Islam

Friday, November 7, 2008

Kursus Peningkatan Profesional Guru Pendidikan Islam Kinabatangan

Assalammualaikum semua sahabat Guru Pendidikan Islam Kinabatangan

Kursus sehari guru pendidikan Islam akan diadakan pada ketetapan berikut:
Tarikh :10 November 2008
Masa : jam 7.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat : Makmal komputer SMK Bukit Garam
pendaftaran ; jam 7.00 pagi

Semua Guru Pendidikan Islam digalakkan membawa laptop, pen drive, broadband (kalau ada) dan keperluan pembelajaran. Sekiranya sahabat-sahabat ada bahan pengajaran mempunyai bahan pengajaran dalam software, sila bawa bersama untuk dikongsi dengan sahabat-sahabat yang lain atau bakal dimasukkan dalam blog PGPIK.

Semua guru Pendidikan Islam dan jQAF diwajibkan hadir. Selain kursus ICT, kita juga akan ambil kesempatan untuk mengadakan pengenalan PGPIK serta pembuburan dan pembentukkan jawatankuasa baru PGPIK.

Kehadiran para sahabat amatlah diharapkan untuk kita bertemu mata terakhir pada tahun ini. Sekiranya sahabat-sahabat masih belum menerima surat dan memerlukannya sila hubungi penyelia agama kita Cikgu kimarun ditalian 0192894441.

Harap maklum dan sebarkan kepada sahabat kita yang lain.

PGPIK: Satu Sorotan

Pengenalan
Agenda kebajikan menjadi agenda yang cukup penting dalam sesebuah organisasi. Apa lagi dalam keadaan majoriti ahli adalah musafir atau muhajirin. Sama ada muhajirin buat seketika ataupun muhajirin yang terus menjadi warga Sabahan. Dalam keadaan musafir dalam menjalankan tugas dakwah dan juga memikul amanah Allah dan kerajaan, sudah pasti kita bakal menempuh berbagai mehnah dan tribulasi.

Kita menyakini melalui kesatuan dan muafakat sahajalah masalah,bebanan kerja, agenda kebajikan dan sebagainya dapat digembeling dan diatasi. Paling tidak dapat memanimumkan masalah ahli. Selain itu bebanan guru pendidikan Islam juga tidak hanya tertumpu kepada tugasan di sekolah tetapi juga melingkari kerja dakwah kepada masyarakat sekitar disamping para ahli dapat bertindak sebagai dai’e dengan kesediaan mengorbankan kesenangan hidup atau pangkat di sekolah.

Sejarah Persatuan Guru Pendidikan Islam Kinabatangan (PGPIK)

Sehubungan itu, dengan inisiatif guru-guru Pendidikan Islam yang berada di sekitar Kota Kinabatangan telah mengambil langkah menubuhkan Persatuan Guru Pendidikan Islam Kinabatangan(PGPIK). Persatuan Guru Pendidikan Islam Kinabatangan ditubuhkan pada tahun 2001 dengan pengerusi pertamanya Ust.Khairul Anwar Abu Othman. PGPIK merupakan kesinambungan Persatuan Guru Ugama Kebangsaan Sabah(PGUKS) yang telah diasaskan oleh mereka yang terdahulu.Tokoh-tokoh gerakan seperti Ust Awang Mahali (sekarang di SPPIM), Ust Mohd Noor (guru besar Tongod/Tokoh CNI),Ust Mohd Zaki Amin (Pensyarakah Maktab Kent), Ust Darul Kamit, Ust Wan Azhar telah berjaya menyatukan guru pendidikan Islam dalam satu wadah. Namun demikian, tidak dapat dikenalpasti apa sebabnya,PGUKS akhir berkubur tanpa nesan. Sedangkan difahamkan PGUKS telah mempunyai aset yang bernilai dan pernah mengadakan perjumpaan dengan Tuan Yang Di pertua Negeri Sabah ketika itu.

Penubuhan PGPIK ini telah diatur oleh mereka yang pernah terlibat dalam PGUKS seperti Allahyarham Ust Sharkawi (bekas GPI SK Jaya Baru/ meninggal tahun 2002), Ust Syukri Yusof (bekas GPI SK Batu Putih). Gabungan bekas PGUKS dan guru GPI yang baru datang seperti Ust Khairul Anwar, Ust Zulkarnain, Ust Wan Sallehuddin dan Ust Zaidi telah membawa penubuhan PGPIK pada tahun 2001. Penubuhan ini adalah hasil persidangan dan keputusan GPI di Pusat Kegiatan Guru Kinabatangan. Kesatuan ini dimaklumkan kepada Pegawai Pelajaran Daerah Kinabatangan ketika itu Tuan Hj Sharif Mahadar. Makluman juga bahawa kesatuan ini,tidak akan ada pertembungan modius operandinya dengan Pasukan Kerja Pendidikan Islam yang telah sedia ada.Pada ketika itu, Pasukan Kerja Pendidikan Islam aktif dibawah pimpinan Ust Shukri Yusof dan Ust Norli Che Wen( sebelum menyambung pelajaran ke UNIMAS)

Adalah di luar jangkaan, kelahiran PGPIK bagaikan menyelusuri Sirah baginda Nabi SAW. Iaitu semasa dalam kandungan, bapa PGPIK (PGUKS Kinabatangan) iaitu PGUKS telah wafat. Justeru itu, PGPIK lahir dalam keadaan yatim. Menyedari keadaan itu, pada tahun 2003, ahli jawatankuasa mengambil keputusan untuk menukar nama PGUKS Kinabatangan kepada PGPIK. Keputusan itu dibuat selepas bermesyuarat dengan Pegawai Pelajaran ketika itu En Mordin Hj Daud (sekarang Pengetua SMK Lamag) dan beliau bersedia menjadi penaung kepada PGPIK.

Pada tahun 2005, Ust Khairul Anwar telah berpindah kerana menyambung pelajaran menyebabkan Ust Zaidi Mustafa selaku timbalan pengerusi bertindak sebagai memangku pengerusi sebelum menyerahkan batton kepimpinan kepada Ust Mohd. Bakri Aziz. Hayat kepimpinan Ust Mohd Bakri juga tidak lama. Dalam keadaan PGPIK masih dahagakan kepimpinannya,beliau dipinang oleh Maktab Perguruan Kent sebagai pensyarah pada tahun 2007. sekali lagi Ust Zaidi Mustafa terpaksa memangku kepimpinan sebelum menunggu mesyuarat untuk memilih kepimpinan baru.


Objektif Penubuhan

Menjaga kebajikan guru-guru pendidikan Islam seluruh daerah Kinabatangan terutama dari segi penempatan awal bagi GPI yang datang dari semenanjung.
Sebagai medium penyelarasan gerak kerja, aktiviti pendidikan Islam daerah supaya pengurusan tenaga dapat digembelingkan secara lebih sistematik terutama aktiviti kemasyarakatan .
Sebagai wadah untuk bermuzakarah dan saling bermuhasabah dalam menjalankan tugasan sebagai pegawai Allah dan masyarakat
berperanan membantu pejabat Pelajaran daerah dalam mengumpul data dan maklumat guru pendidikan Islam.
Membantu Pasukan Kerja Pendidikan Islam dalam menjalankan aktiviti kurikulum peringkat daerah.

Keahlian
- Semua guru Pendidikan Islam dan jQAF daerah Kinabatangan secara automatik adalah ahli.Pendaftaran menggunakan borang adalah digalakkan.

Organisasi Pertama (Tahun 2001 – 2005)

Pengerusi : Ust Khairul Anwar Abu Othman
Timb Pengerusi ; Ust Mohd Zaidi Mustafa
Setiausaha : Ust Mohd Yusri Abdul Ghani
Timb. Setiausaha : Ust Wan Sallehuddin Wan Abdullah
Bendahari : Ust Zulkarnain Mohd Noh

Organisasi Kedua (Tahun 2006-2007)

Pengerusi : Ust Mohd Bakri Abdul Aziz
Timb Pengerusi ; Ust Mohd Zaidi Mustafa
Naib Pengerusi : Ust Zulkarnain Mohd Noh
Setiausaha : Ust Wan Sallehuddin Wan Abdullah
Timb. Setiausaha : Ust Zulkifli Abu Bakar
Bendahari : Ust Mohd Termezi Ibrahim

Tema

Ulama Pewaris Nabi. Tema ini adalah tema PGUKS tetapi kita masih berpegang kepada tema ini kerana visi dan misi kita adalah sama. Malah PGPIK juga adalah zuriat yatim PGUKS)

Harapan

Adalah menjadi harapan kita semua semoga PGPIK dapat berfungi dengan baik sepertimana objektif penubuhannya. Objektif tidak akan dapat dicapai tanpa kesungguhan,komitmen, pengorbanan, persefahaman, mujahadah dan keikhlasan dalam menunaikan amanah Allah. Usaha ini diharapkan mendapat keredhaanNya dan dapat membersihkan rezeki yang kita cari.Terima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh guru pendidikan Islam selama ini.