Sunday, November 9, 2008

Selamat Bermuktamar


الحمد الله رب العالمين , والصلاة والسلام على المبعوث رحمة الله للعالمين, وأشهد أن لا اله الا الله الملك الحق المبين, واشهد أن سيدنا محمدا رسول الله الصادق الوعد الامين

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Pertamanya,marilah kita mengatur syukur kepada Allah SWT atas Inayah dan IradatNya, dapatlah berkumpul di SMK Bukit Garam ini untuk melaksanakan dua agenda serentak. Kita dapat berkursus ICT dan juga mengadakan mesyuarat.

Sehubungan dengan itu, saya bagi pihak PGPIK mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah khususnya Tuan Hj Suharpi dan En Kimarun yang membuka ruang kepada kita untuk mengadakan program seumpama ini.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pentadbir sekolah yang telah membenarkan para ustaz dan ustazah meninggalkan sekolah pada hari ini. Kita maklum,dalam keadaan sekarang, pihak sekolah sibuk dengan pelbagai program dan mesyuarat yang pastinya menuntut komitmen guru-guru Pendidikan Islam.

Tidak lupa juga penghargaan kepada pihak SMK Bukit Garam yang telah menyediakan tapak program dan kemudahan internet kepada kita pada hari ini. Sokongan semua pihak dan komitmen yang ditunjukkan oleh para ustaz dan ustazah diharapkan dapat melancar dan memantapkan usaha pengembelingan tenaga para murabbi dalam memastikan tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Sidang Muktamar yang dirahmati,

Ruang muhasabah yang kita buka pada hari, diharapkan dapat dimunafaatkan dengan baik untuk melontarkan idea dan menjana minda sesuai dengan tema PGPIK "ulama Pewaris nabi". Adalah lebih penting dari itu ialah menjana wehdatul fikr dan wehdatul amal. Ini kerana kita tidak boleh hanya bijak melontarkan idea tetapi mestilah rajin, tekun dan istiqamah dalam melaksanakan gerak kerja

Firman Allah SWT:
13. Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah[1388] maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita.

Pada hari ini juga, kita akan membuat pemilihan dan menilai semula kepimpinan kita, setelah usia PGPIK ini menghampiri usia 8 tahun. Sepanjang 8 tahun kita berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi samaada dari dalam atau luar. Namun demikian sehingga ke hari ini, kita masih bertahan. Semua ini hasil daripada partisipasi kita semua yang tidak jemu menabur bakti dan berkorban tenaga dan wang ringgit. Justeru itu,sekali lagi saya berharap agar lebih ramai dari kalangan kita yang menawar diri untuk berkhidmat. Kepincangan dan kelemahan kepimpinan terdahulu kita sama-sama perbaiki dan kelebihannya kita gunapakai. Hakikat ini penting bagi mengelakkan kita terjerumus dalam kesilapan berulangkali.

Firman Allah dalam surah As-Sajdah ayat 24, Maksudnya:

24. Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar[1195]. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.

Sidang Muktamar yang dihormati,

Kesempatan ini,ingin saya menjelaskan,desus-desus yang mengatakan GPI berpecah kerana mempunyai dua kumpulan. Ini adalah tuduhan sambrono dan salah sangka yang perlu diperbetulkan.Justeru itu, saya mengharapkan para muktamar yang hadir dapat menjelaskan bahawa antara PGPIK dan Pasukan Kerja bagaikan isi dengan kuku,suami dengan isteri, aur dengan tebing, irama dan lagu , ombak dan pantai. kita saling perlu memerlukan antara satu sama lain.

Pertama: Matlamat penubuhan adalah berbeza, Pasukan kerja khusus kepada pasukan kurikulum yang berperanan meningkatkan kualiti akademik dan mutu P&P itu sendiri. Kewujudannya sama dengan kewujudan Pasukan Kerja Sains,matematik dan sebagainya. Sedangkan PGPIK lebih melihat kepada agenda kebajikan dan penyelarasan aktiviti ko-kurikulum bagi meningkatkan sahsiah ahli dan pelajar.

Keduanya: Melihat dari sudut sejarahnya, penubuhan PGPIK atas inisiatif pengerak pasukan Kerja yang melihat kekosongan dari sudut penyelarasan dan kebajikan.

Ketiganya: Keahlian Pasukan kerja adalah terhad kerana sukatan pelajaran yang berbeza dan sumber kewangan yang berlainan. PGPIK berfungsi menyatukan kesemuanya. Pasukan kerja Sekolah menengah dibawah pengawasan Jurulatih utama dan juga Pasukan Ketua Panitia Gabungan.

Justeru itu, saya melihat,bukanlah keperluan bagi kita untuk membubarkan salah satu kerana dibimbangi dilihat sebagai berpecah. Suami isteri yang masing-masing mempunyai kereta sendiri, adakah itu dikatakan suami isteri itu tidak bahagia, berpecah?? sedang arah tuju dan peranan yang berlainan. kita telah menggunakan medan usrah untuk merapatkan hubungan saliturrahim dan yang paling utama merapatkan jurang pemikiran. Kita tidak perlu melayan kemucut perjuangan. Perjalanan kita masih jauh. Kita bekerja bukan semata-mata menunaikan tuntutan makan gaji tetapi melaksanakan perintah Allah sebagai daie, murabbi ummah dan reformis masyarakat. Kita terus mara....teguran dan nasihat sememangnya diperlukan tetapi tidak semestinya kita menelan semua umpan kerana setiap benda yang dihidangkan itu rezeki. Mungkin juga dia racun yang bisa membunuh perjuangan.

Untuk akhirnya, selamat bermuktamar dan bermuhasabah. Tidak lupa juga,saya mengucapkan selamat bercuti dan majoriti besar ahli PGPIK adalah mereka yang akan menyeberangi Laut Cina Selatan untuk bercuti.Hati-hati dalam perjalanan. Ingat juga, sumbangan kita masih diperlukan warga Kinabatangan. bagi mereka yang tidak dapat pindah, yakinlah ada hikmah disebalik takdir Allah. Khidmat dan sumbangan anda masih diperlukan. Sekian.

وبالله التوفيق والهداية, والسلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

No comments: