Saturday, September 30, 2017

DOA BUAT USTAZAH FARAHIAH

KINABATANGAN  bakal kehilangan lagi guru Pendidikan Islam di sekolah menengah setelah Ustazah Farahiah Mohd Said yang bertugas di SMK Bukit Garam terpaksa diterbangkan balik ke kampung halaman. Ini kerana, Ustazah Farahiah disahkan mengalami masalah kesihatan dan memerlukan kepada rawatan segera.

Pihak Persatuan Guru Pendidikan Islam PGPIK amat merasai jerih payah Ustazah Farahiah dalam menangani ujian kepada dirinya. Apa lagi dalam mengurus dua orang anaknya yang masih kecil dan memerlukan perhatian. Sebagai tanda kebersamaan dan kasih sayang, pihak Persatuan Guru Pendidikan Islam Kinabatangan PGPIK dan Usrah Muslimat telah mengadakan solat hajat untuk memohon kepada Allah SWT agar dimudahkan segala urusan ustazah dan disembuhkan oleh Allah. Solat hajat dan majlis doa yang diadakan di Pusat Islam Kinabatangan PADU telah menghimpunkan hampir 100 orang sahabat dan sahabiah untuk datang mendoakan ustazah Farahiah

Solat hajat yang dipimpin oleh Ketua Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Kinabatangan, Ust Muhd Sabri Hj Jalpah telah disertakan dengan bacaan Yaasin.

Pihak Usrah Muslimat telah menyediakan makanan dan minuman kepada para jemaah yang hadir. Makanan pelbagai negeri membuka ruang untuk jemaah merasai nikmat makanan yang pelbagai.

Doa untukmu sahabat semoga beroleh kesejahteraan
Pihak Persatuan Guru Pendidikan Islam Kinabatangan PGPIK mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program solat hajat dan doa itu. Ust Hafizi yang berucap menwakili Ustazah Farahiah terharu dengan sokongan dan dokongan para sahabat terhadap musibah yang menimpa keluarganya dan terus mengharapkan doa daripada sahabat sekelian untuk kesembuhan isterinya.

Kepada Ustazah Farahiah dan Ust Hafizi semoga Allah mudahkan perjalanan kalian dan disempurnakan hajat olehNya. Kami tetap menanti kepulangan kalian ke Kinabatangan, atau paling tidak jenguklah kami ketika ada kesempatan oleh kalian...

Sunday, March 16, 2014

Tajuk Syarahan Spontan

setelah undian dibuat, tajuk-tajuk yang dipilih oleh guru penasihat masing masing adalah seperti berikut :-



Tajuk syarahan 2014 MTQ Kinabatangan
TILAWAH
11. Sifat sabar membentuk mukmin sejati – SMK PARIS PEREMPUAN
13. Perpaduan asas perpaduan ummah
19. Beriman dengan hari kebangkitan penyelamat insan
27. Amal Islami asas mukmin berjaya
29. Menutup aurat tingkat kemuliaan umat

HADIS]
14. Ummah berilmu ummah cemerlang
12. mencegah kemungkaran tanggungjawab bersama –SMK BUKIT GARAM L
22. Amalan mukmin cemerlang teras generasi terbilang - SMK BUKIT GARAM P
26. Makanan halal pembentuk sahsiah terpuji
28. Sikap menghargai masa pelajar berjaya

IBADAH
15. Bersuci membentuk peribadi muslim – SMK BUKIT GARAM II (P)
21. puasa teras ketaqwaan
30. Rukhsah solat bukti kasih sayang Allah
20. Penghayatan konsep korban melahir individu cemerlang  SMK BUKIT GARAM II L
25. Perkahwinan penawar masalah sosial

AQIDAH
1. Kemantapan aqidah pembina ummah bertamadun SMK SUKAU LELAKI
2. Beriman kepada malaikat asas akhlak muliA- SMK SUKAU PEREMPUAN
3. Kepercayaan kepada Qada dan Qadar pembentuk peribadi terpuji
4. Taubat menjana ummah sakinah
5. Insan beriman insan terbilang

TAMADUN
6. Rasulullah model sepanjang zaman
7. Umar Al-Khatab lambang kebangkitan Islam – SMK Paris lelaki
8. Fathu Makkah pencetus sinar Islam
9. Khulafa' Ar-Rasyidin penegak Daulah Islam
10. Kerajaan Abbasiyyah pemangkin ilmuan gemilang

ADAB
16. Kawan terpuji pencetus motivasi diri
17. maruah terpelihara hidup terpuji
23. Ikhlas berkerja menjana insan cemerlang
24. Adab berhias penyelamat ummah
18. Sadaqah pemangkin kesejahteraan masyarakat

Sunday, March 25, 2012

Mesyuarat Pertama Pasukan Kerja Pendidikan Islam sesi 2012

Pasukan Kerja Pendidikan Islam peringkat daerah Kinabatangan telah berjaya bermesyuarat dan berbengkel di Pusat Kegiatan Guru kinabatangan.

Antara perkara telah berjaya diputuskan. antaranya:-

1. Membuat rombakan Organisasi Pasukan Kerja Pendidikan Islam dengan memperkasakan pasukan kerja peringkat sekolah menengah dan pasukan sekolah rendah. Ust Mohd Zaidi dari SMK Bukit Garam ditaklifkan sebagai Pengerusi Pasukan Sekolah Menengah, manakala, Ust Mohd Fairul A.Bakar dari SK Ladang Bode Kretam dipilih sebagai pengerusi Pasukan sekolah rendah.

2. Memperkasakan semula media Pendidikan Islam yang sedia ada seperti blog, facebook, email, e-group dan sebagainya dengan melantik Ust Khalim dari SK Balad.

3. Membentuk organisasi yang akan membantu penyelia agama, Ust Jumat Yusuman dalam mengurus Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ), Dakwah dan kursus peningkatan.

4. Membentuk pasukan pembinaan soalan peperiksaan peringkat menengah dan rendah

Kehadiran ketua-ketua panitia dari sekolah menengah dan rendah ini telah merancakkan lagi perbincangan dan gerak kerja.

Ust Jumat Yusuman selaku pengerusi dan penyelia Pendidikan Islam Daerah cukup berpuashati dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh guru-guru Pendidikan Islam daerah Kinabatangan.

Friday, November 11, 2011

Guru kerja 9 jam mulai tahun 2012?

ALOR SETAR 11 Nov. - Kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 buah sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari tahun depan, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Presidennya, Hashim Adnan berkata, pihaknya difahamkan sistem waktu bekerja baharu itu akan dilaksanakan di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak dengan tempoh percubaan selama enam bulan sebelum diperhalusi oleh Kementerian Pelajaran.

Katanya, pihak NUTP bagaimanapun berpendapat waktu bekerja tersebut tidak sesuai diamalkan di sekolah.

Jelas beliau, pihaknya menerima maklum balas daripada guru terlibat yang bimbang dan tertekan ekoran perubahan waktu kerja baharu itu.

"NUTP berpendapat sistem bekerja sembilan jam seperti penjawat awam lain di pejabat tidak boleh diguna pakai dalam pendidikan sekolah.

"Selain bertugas sebagai pendidik, guru juga dibebani dengan tugas perkeranian termasuk mengisi data dan sebagainya. Malah, ada masanya guru terpaksa bertugas Sabtu dan Ahad untuk aktiviti badan beruniform, sukan dan kelas tambahan," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi. Hadir sama, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Hashim, tempoh percubaan waktu berkerja sembilan jam sehari di sekolah terpilih itu akan dilaksanakan dua sesi iaitu 7.30 pagi hingga 4.30 petang dan 1.30 petang hingga 6.30 petang selama enam bulan.

"Kesatuan dimaklumkan bahawa para guru di sekolah terlibat sudah diberikan taklimat berhubung perkara ini.

"Walaupun ia tempoh percubaan sebelum diperhalusi pelaksanaannya oleh Kementerian Pelajaran, ramai guru sudah merasa tertekan dan kita bimbang perkara ini akan menganggu tugas mereka di sekolah," katanya.

Seh

Sunday, June 19, 2011

CUEPACS minta kenaikan pangkat selepas kursus

ALOR SETAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar di bawah Sistem Bersepadu Potensi Penjawat Awam (PROSPEK), penjawat awam terus mendapat kenaikan pangkat selepas menghadiri kursus tanpa perlu menunggu berlaku kekosongan jawatan.

"Kita membantah jika kenaikan pangkat hanya diberi apabila terdapat kekosongan jawatan kerana objektif PROSPEK tidak tercapai. Apabila pulang dari berkursus mereka hendaklah dinaikkan pangkat," kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.
Beliau berkata, CUEPACS juga menuntut pemberian insentif kepada penjawat awam dinaikkan terus kepada tiga kenaikan.

"Dulu masa ada PTK (Penilaian Tahap Kecekapan), kita ada aras melintang dan menegak tapi dalam PROSPEK konsep melintang dan menegak tiada. Jadi kita mahu ia digantikan dengan tiga kenaikan, baru ada perubahan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai RISDA Kedah di sini hari ini.


Beliau berkata, CUEPACS sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara berhubung pelaksanaan PROSPEK.

Katanya, terdapat beberapa perkara yang tidak disentuh dan perlu dimasukkan dalam PROSPEK supaya terdapat perubahan lebih baik berbanding PTK.
"Antara permintaan lain CUEPACS ialah pelantikan panel berwibawa bagi membuat penilaian terhadap penjawat awam selain dua pegawai mewakili kesatuan sekerja supaya penilaian yang dibuat lebih adil dan saksama," katanya.

Omar juga berkata, CUEPACS tegas dengan tuntutannya mengenai penyelarasan elaun sara hidup kepada RM300 untuk semua penjawat awam dan imbuhan tetap perumahan dinaikkan kepada RM350 dari RM180. - BERNAMA

Monday, May 30, 2011

Puad nafi laporan 80,000 guru Semenanjung ke Sarawak

PETALING JAYA 30 Mei - Kementerian Pelajaran hari ini menafikan laporan kononnya ia akan menghantar sekitar 80,000 guru dari Semenanjung ke Sarawak tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, sehingga 11 Mei tahun ini, terdapat seramai 80,382 guru yang mengajar di sekolah rendah dan sekolah menengah di Sabah dan Sarawak di mana 15,641 daripada jumlah itu terdiri daripada guru yang berasal dari Semenanjung.

"Sekiranya kita hendak menghantar 80,000 orang guru dari Semenanjung ke Sarawak, siapa pula yang akan mengajar di Semenanjung?” katanya ketika ditemui selepas melancarkan pertandingan mural PLUS antara sekolah-sekolah menengah peringkat kebangsaan 2011 di sini hari ini. - Bernama

Wednesday, April 27, 2011

Guru tumbuk guru besar didenda RM2,000

27/04/2011 3:15pm

ALOR SETAR — Seorang guru dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, selepas didapati bersalah mencederakan guru besar sekolah tempat beliau mengajar lebih empat tahun lalu.

Majistret Nor Azah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap Norazman Abdul Wahab, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Norazman, 41, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan terhadap tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk muka dan menyepak paha Halim Saad, 52, di pejabat Sekolah Kebangsaan Gerigis, Jalan Langgar, Alor Setar pada 20 Disember 2006 kira-kira pukul 8.35 pagi.

Dalam rayuannya, Norazman meminta mahkamah meringankan hukuman kerana menurutnya dia digantung kerja sejak Mac 2008, manakala dua anaknya akan memasuki universiti dan dua lagi belajar di sekolah menengah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd. Nor meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh yang merupakan pendidik supaya menjadi contoh kepada penjawat awam lain.

Peguambela Norazaman, G. Ravishankar tidak hadir dan beliau diwakili peguam Pyara Singh a/l Dara Singh.

Norazman membayar denda itu. — Bernama