Monday, July 26, 2010

Guru gred 41 hingga 48 dibenar terlibat dalam politik

27/07/2010 12:14pm

KUALA LUMPUR 27 Julai - Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad,” kata Mohd Sidek.

Beliau berkata, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya, mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik. - Bernama

Monday, July 19, 2010

Guru dari Sabah, Sarawak mengajar di negeri sendiri

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran berusaha menempatkan guru berasal dari Sabah dan Sarawak bertugas di negeri asal masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Katanya, pendekatan itu diambil kerana guru dari Sabah dan Sarawak lebih memahami budaya negeri itu, sekali gus membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha itu sudah dimulakan, tetapi belum mampu memenuhi permintaan di semua kawasan, menyebabkan kementerian perlu membawa guru dari Semenanjung.

Beliau berkata, ia tidak bermakna Kementerian Pelajaran tidak mengiktiraf jasa dan sumbangan guru dari Semenanjung yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

“Penempatan guru di Sabah dan Sarawak lebih sesuai orang tempatan. Usaha ini mengambil masa kerana kita tidak boleh terus hantar guru dari Semenanjung balik. Ia perlu dilakukan secara berperingkat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak meminta Kementerian Pelajaran menempatkan lebih ramai guru dari Sabah bertugas di negeri itu dengan alasan mereka lebih memahami budaya tempatan.

Ditanya kegagalan kontraktor menyiapkan makmal komputer di kebanyakan sekolah di Sabah, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran berusaha mengatasinya.
Hanya dua daripada 300 makmal komputer sekolah di Sabah yang sepatutnya disempurnakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dilaporkan berjaya disiapkan, manakala 298 menghadapi pelbagai masalah.

Dua makmal yang disiapkan ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pomotodan dan SK Kitobu di Inanam, dekat Kota Kinabalu. Setakat April lalu, 137 makmal komputer mencapai tahap 90 peratus siap, manakala 110 makmal (80 peratus siap), 46 makmal komputer (kurang 70 peratus), empat belum dimulakan dan satu lagi dibatalkan.

Friday, July 16, 2010

Kemudahan sekolah pedalaman Sabah, Sarawak terus ditingkat

TENOM 16 Julai - Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan kemudahan sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak walaupun menyedari ia bukan satu tugas mudah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Beliau berkata, selain satu amanah, ia juga sebagai membalas kepercayaan rakyat di kedua-dua negeri itu terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

"Kita hargai sumbangan ini dan sebab itu kita sentiasa meletakkan agenda membangunkan pendidikan di kedua-dua negeri ini, khususnya di luar bandar sebagai satu keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rubin Balang; Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Radin Malleh; Ketua UMNO Bahagian Beluran, James Ratib dan pemimpin tertinggi UMNO bahagian tersebut.

Terdahulu, Puad bersama rombongan sempat melawat dua sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Kalang Kanar dan SK St. Anthony di sini sebelum merasmikan mesyuarat berkenaan.

Puad berkata, kedaifan sekolah dan kekurangan kemudahan persekolahan di kedua-dua negeri ini sedikit sebanyak menjejaskan minat dan kesungguhan pelajar.

Katanya, kekurangan itu juga seterusnya menyebabkan mereka tercicir dan ketinggalan berbanding kanak-kanak di bandar.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan akan mencari jalan terbaik mengatasi masalah itu bagi memastikan kanak-kanak di pedalaman dapat menikmati pendidikan berkualiti.

Mengulas mengenai lawatan ke sekolah tersebut, Puad berkata, kementerian akan berusaha memastikan masalah di kedua-dua sekolah berkenaan diatasi segera.

"SK Kalang Kanar berhadapan dengan masalah sering dilanda banjir dan disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak selamat digunakan lagi, manakala SK. St. Anthony menghadapi masalah kedaifan bangunan serta ancaman tanah runtuh.

"Saya akan kemukakan masalah ini kepada Kementerian untuk tindakan sewajarnya," katanya.

sumber : Utusan