KUANTAN 20 Nov. - Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB) menyokong tindakan yang bakal diambil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk memboikot Peperiksaan Tahap Kecekapan (PTK) jika ia tidak dimansuhkan tahun depan.
Presiden KGGMB, Sabri Mohd. Arsad berkata, pemansuhan PTK itu wajar difikirkan kerana ia banyak memberi tekanan dan mengetepikan jasa guru yang rata-ratanya telah berkhidmat lama dalam bidang pendidikan.
Katanya, pelaksanaan PTK dilihat tidak adil dan tidak relevan lagi terutamanya kepada golongan guru berusia kerana tidak dapat memberi tumpuan dalam peperiksaan sekali gus boleh menjejaskan kualiti kerja masing-masing.
''Mereka yang berusia turut mendapat pengiktirafan cemerlang apabila menunjukkan prestasi yang baik dalam tugas sebelum ini, tetapi dengan adanya PTK, ia telah membantutkan peluang tertentu dalam perkhidmatan.
''Sebaliknya, penjawat awam di kalangan orang muda yang hanya menunjukkan prestasi cemerlang menerusi keputusan Aras 4 dalam kedua kertas peperiksaan berkenaan terus diberi anjakan gaji," katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, guru muda misalnya mempunyai daya berfikir dan ingatan yang baik, tetapi tidak aktif di luar tugas dalam memberikan sumbangan kepada pelajar.
''Natijahnya, guru-guru muda ini memperoleh tangga gaji lebih tinggi yang mungkin sama dengan gaji dengan golongan senior dan penjawat awam yang berusia," katanya.
Katanya, KGGMB amat mengalu-alukan tindakan CUEPACS yang mendakwa akan memboikot peperiksaan PTK jika ia tidak dimansuhkan tahun depan.
No comments:
Post a Comment