Tuesday, November 11, 2008

Memori Kursus Sehari Guru Pendidikan Islam Daerah

10 November 2008- Guru Pendidikan Islam Daerah Kinabatangan sekali lagi diberi peluang untuk meningkatkan profesional sebagai guru pendidikan Islam yang celik ICT sesuai dengan tuntutan zaman dan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia. Makmal komputer SMK Bukit Garam menjadi lokasi berlangsungnya kursus Peningkatan Profesion Guru Pendidikan Islam yang julung kali diadakan ini.

Kursus sehari anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kinabatangan telah berjaya mengumpul hampir 60 orang guru Pendidikan Islam dan j-Qaf dari seluruh daerah Kinabatangan.Dua slot kursus dibimbing sendiri oleh Guru Pendidikan Islam daerah Kinabatangan membuktikan bahawa Guru pendidikan Islam sudah lama bersedia menyahut seruan kerajaan dan tuntutan zaman tentang peri pentingnya penggunaan ICT dalam pendidikan.

Ust Fadil Izham dari SK Bukit Garam membentangkan Pengenalan Blog dan Kaedah Menyediakannya. Para peserta dibimbing membina email yang membolehkan para peserta membina blog peribadi. Tahniah diucapkan kepada Ust Fadil Izham yang dapat membentang dengan baik dan berkesan akan tajuk yang diamanahkan. Sekalipun, beliau dijemput secara tidak sengaja setelah penceramah yang sepatutnya En Al-Hasyim, penyelia ICT daerah tidak dapat hadir kerana mempunyai tugas yang lebih penting. Jika diperhatikan daripada nama blog yang disediakan oleh para peserta,majoriti peserta membina blog berasaskan sekolah masing-masing. Ini mungkin kerana menyedari bahawa mereka mewakili sekolah dan semangat kecintaan kepada tempat bertugas.

Slot kursus kedua dibentangkan oleh Ust Abdul Razak Ghazali dari SK Kuala Suan Lamba. Beliau membentangkan bagaimana untuk membuat catatan dan edit pada blog yang telah disediakan. Turut diajar cara untuk menyediakan fail dalam photopacet dan reka letak pada blog. Peserta mencuba apa yang diajar dan ada peserta yang sudah mendahului apa yang dibentangkan oleh penceramah.

Kita mengharapkan dengan kejayaan para peserta membina blog bakal melahirkan ramai lagi para blogger yang akan menyemarakkan medan dakwah selain memastikan bahan bantu mengajar yang disediakan oleh para guru Pendidikan Islam dapat dikongsi bersama secara meluas.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Tuan Hj Suharpi Lasuddang, Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kinabatangan. Turut serta En Al-Hasyim, penyelia ICT daerah. Tuan Hj Suharpi turut melancarkan blog PGPIK dengan harapan blog yang dibina oleh PGPIK ini akan dapat dimunafaatkan sepenuh oleh guru pendidikan Islam untuk meningkatkan prestasi dan mutu perkhidmatan.
(Isi ucapan PPD akan disiarkan dalam posting yang akan datang...)

Sebelum berakhir majlis, para peserta mengambil kesempatan untuk bergambar kenang-kenangan dengan Tuan Hj Suharpi dan En Al-Hasyim di dalam makmal komputer SMK Bukit Garam.

Pihak Persatuan Guru Pendidikan Islam (PGPIK), mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pejabat Pelajaran Daerah khususnya Penyelia Agama En Kimarun kerana menganjurkan kursus seumpama ini. Semoga kursus dan usaha ini dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang dan penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan kuantiti dan kualiti ditahap yang terbaik. Syabas dan tahniah kepada guru Pendidikan Islam yang telah memberi komitmen dalam memastikan kursus ini berjalan lancar.

No comments: