Saturday, August 14, 2010

Beri kuasa polis bebankan guru - NUTP

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Saranan agar guru disiplin diberi kuasa polis tambahan tidak akan mampu membendung masalah disiplin pelajar di sekolah sebaliknya memberi bebanan baru kepada guru terlibat.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, tanggungjawab guru bukan sekadar menyelesaikan masalah disiplin pelajar.

Menurutnya, malah mereka perlu mendidik dan berperanan sebagai ibu bapa dengan menasihati serta membimbing pelajar agar menjadi manusia berguna.

"Tanggungjawab yang dipikul oleh guru-guru pada hari ini amat berat dan tidak wajar sekiranya mereka terpaksa menggalas tanggungjawab baru pula iaitu polis tambahan bagi membendung masalah disiplin di kalangan pelajar.

"Kita tidak mahu nanti tugas guru yang lebih penting iaitu mengajar terpaksa dikesampingkan akibat memikul tanggungjawab lain. Ibarat yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran pula," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran (Kongres), Jemale Paimen yang menggesa kerajaan mengkaji pemberian kuasa polis tambahan kepada guru disiplin bagi menghindari pengaruh samseng di sekolah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-guru Sarawak, William Ghani Bina berkata, saranan tersebut tidak mampu mengubah sikap pelajar yang tidak berdisiplin menjadi lebih baik malah ia menyebabkan pelajar tidak menyenangi guru mereka.

"Sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak mampu dilaksanakan dengan baik jika saranan itu diwujudkan kerana pelajar akan kurang menghormati tetapi berasa takut terhadap guru-guru mereka.

"Tidak sepatutnya tanggungjawab membendung masalah disiplin pelajar diletakkan di bahu guru sahaja. Seharusnya semua pihak iaitu pengetua, guru, pelajar, ibu bapa dan masyarakat bekerja sebagai satu pasukan bagi menangani masalah tersebut," katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohd. Ali Hassan pula mengalu-alukan saranan tersebut dan mencadangkan diwujudkan jawatan baru bagi menangani masalah disiplin pelajar.

"Perlu diwujudkan satu jawatan baru iaitu penolong kanan disiplin bagi menyelaras dan memantau hal-hal berkaitan disiplin pelajar serta guru-guru di bawah penyeliaan guru besar atau pengetua.

"Perlindungan undang-undang juga wajar disalurkan kepada guru-guru ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang akan terjadi seperti dicederakan atau disaman," katanya.

Tambahnya, sebelum membenarkan mereka menjalankan tugas dalam membendung masalah disiplin pelajar, guru-guru tersebut perlu diberikan latihan dan penerangan terlebih dahulu bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Monday, July 26, 2010

Guru gred 41 hingga 48 dibenar terlibat dalam politik

27/07/2010 12:14pm

KUALA LUMPUR 27 Julai - Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, demikian diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

"Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambahnya.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

"Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad,” kata Mohd Sidek.

Beliau berkata, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya, mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik. - Bernama

Monday, July 19, 2010

Guru dari Sabah, Sarawak mengajar di negeri sendiri

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran berusaha menempatkan guru berasal dari Sabah dan Sarawak bertugas di negeri asal masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Katanya, pendekatan itu diambil kerana guru dari Sabah dan Sarawak lebih memahami budaya negeri itu, sekali gus membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha itu sudah dimulakan, tetapi belum mampu memenuhi permintaan di semua kawasan, menyebabkan kementerian perlu membawa guru dari Semenanjung.

Beliau berkata, ia tidak bermakna Kementerian Pelajaran tidak mengiktiraf jasa dan sumbangan guru dari Semenanjung yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

“Penempatan guru di Sabah dan Sarawak lebih sesuai orang tempatan. Usaha ini mengambil masa kerana kita tidak boleh terus hantar guru dari Semenanjung balik. Ia perlu dilakukan secara berperingkat,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepanggar di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, semalam.

Sebelum ini, beberapa pihak meminta Kementerian Pelajaran menempatkan lebih ramai guru dari Sabah bertugas di negeri itu dengan alasan mereka lebih memahami budaya tempatan.

Ditanya kegagalan kontraktor menyiapkan makmal komputer di kebanyakan sekolah di Sabah, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran berusaha mengatasinya.
Hanya dua daripada 300 makmal komputer sekolah di Sabah yang sepatutnya disempurnakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dilaporkan berjaya disiapkan, manakala 298 menghadapi pelbagai masalah.

Dua makmal yang disiapkan ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pomotodan dan SK Kitobu di Inanam, dekat Kota Kinabalu. Setakat April lalu, 137 makmal komputer mencapai tahap 90 peratus siap, manakala 110 makmal (80 peratus siap), 46 makmal komputer (kurang 70 peratus), empat belum dimulakan dan satu lagi dibatalkan.

Friday, July 16, 2010

Kemudahan sekolah pedalaman Sabah, Sarawak terus ditingkat

TENOM 16 Julai - Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan kemudahan sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak walaupun menyedari ia bukan satu tugas mudah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Beliau berkata, selain satu amanah, ia juga sebagai membalas kepercayaan rakyat di kedua-dua negeri itu terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

"Kita hargai sumbangan ini dan sebab itu kita sentiasa meletakkan agenda membangunkan pendidikan di kedua-dua negeri ini, khususnya di luar bandar sebagai satu keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rubin Balang; Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi; Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Radin Malleh; Ketua UMNO Bahagian Beluran, James Ratib dan pemimpin tertinggi UMNO bahagian tersebut.

Terdahulu, Puad bersama rombongan sempat melawat dua sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Kalang Kanar dan SK St. Anthony di sini sebelum merasmikan mesyuarat berkenaan.

Puad berkata, kedaifan sekolah dan kekurangan kemudahan persekolahan di kedua-dua negeri ini sedikit sebanyak menjejaskan minat dan kesungguhan pelajar.

Katanya, kekurangan itu juga seterusnya menyebabkan mereka tercicir dan ketinggalan berbanding kanak-kanak di bandar.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan akan mencari jalan terbaik mengatasi masalah itu bagi memastikan kanak-kanak di pedalaman dapat menikmati pendidikan berkualiti.

Mengulas mengenai lawatan ke sekolah tersebut, Puad berkata, kementerian akan berusaha memastikan masalah di kedua-dua sekolah berkenaan diatasi segera.

"SK Kalang Kanar berhadapan dengan masalah sering dilanda banjir dan disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak selamat digunakan lagi, manakala SK. St. Anthony menghadapi masalah kedaifan bangunan serta ancaman tanah runtuh.

"Saya akan kemukakan masalah ini kepada Kementerian untuk tindakan sewajarnya," katanya.

sumber : Utusan

Saturday, May 15, 2010

Gaji: CUEPACS serah cadangan kepada PM

KUALA LUMPUR 15 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menghargai kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menaikkan gaji penjawat awam yang rendah.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, satu kertas kerja khas yang mengandungi cadangan peratusan kenaikan gaji yang diharapkan kesatuan itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri bulan depan.

''Kertas kerja itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri selepas Majlis Kongres CUEPACS mengadakan pertemuan dari 5 hingga 7 Jun ini di Sarawak bagi membincangkan mengenai peratusan kenaikan gaji yang akan dimohon.

''Kami harap kenaikan gaji ini akan melibatkan pelbagai sektor dan jawatan dalam perkhidmatan awam,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Najib berkata, beliau tidak sampai hati melihat gaji penjawat awam rendah dan yakin kerajaan yang diketuainya mampu meningkatkan pendapatan per kapita negara daripada RM22,400 kepada RM48,000 dalam tempoh 10 tahun.

Perdana Menteri bertekad meningkatkan pendapatan negara yang akan turut melibatkan penjawat awam bergaji minimum RM1,024 sebulan.

Menurut Omar, CUEPACS juga menyokong sepenuhnya cadangan Perdana Menteri untuk memberi ganjaran terhadap prestasi luar biasa yang ditunjukkan penjawat awam.

''Selain kenaikan gaji, cadangan Perdana Menteri itu dilihat mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan penjawat awam terutama mereka yang berkhidmat di barisan hadapan.

''Kami juga yakin pada tahun ini penjawat awam akan mendapat lebih manfaat berikutan prestasi ekonomi yang semakin baik,'' katanya.

Saturday, May 8, 2010

Guru tertekan ditemui lemas

KANGAR - Seorang guru lelaki daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi ditemui lemas selepas dikatakan tertekan apabila diarah berpindah ke sekolah baru sejak dua bulan lalu, berhampiran pantai Kuala Sungai Baru, dekat sini, semalam.

Mangsa, Zuki Ibrahim, 40, ditemui terapung di tepi pantai terbabit selepas lebih empat jam dilaporkan hilang.

Mayat Zuki ditemui orang awam kira-kira jam 1.20 petang pada jarak hampir 10 meter dari pesisir pantai Sungai Bahru selepas gerakan mencari dilakukan sepasukan anggota penyelamat.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa bagaimanapun punca kematian masih disiasat.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat dan pada masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Isteri mangsa, Noriza Kassim, 37, berkata, sebelum kejadian beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suami yang menyuruhnya segera ke pantai Sungai Bahru, kerana dia sangat kecewa serta tertekan sehingga mahu membunuh diri.

Beliau yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah, di sini, berkata, selepas menerima SMS berkenaan, beliau terus bergegas ke tempat kejadian.

“Saya terus bergegas ke sana dan menemui kereta Proton Exora milik suami, serta beberapa barangan lain termasuk telefon bimbit yang ditinggalkan di tepi pantai.

“Saya cuba mencari suami di merata tempat bersama orang ramai, namun tidak bertemunya dan nekad membuat laporan polis.

“Akhirnya mayat suami ditemui terapung di tepi pantai berhampiran sungai oleh anggota pasukan penyelamat,” katanya.

Noriza berkata, suaminya yang baru ditukarkan daripada SMK Padang Siding ke SMK Syed Saffi dua bulan lalupernah mengadu tertekan dan tidak berpuas hati berikutan pemindahan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat, mengesahkan Zuki ditukar ke sekolah lain sejak dua bulan lalu disebabkan kenaikan pangkat dan pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripadanya berhubung pertukaran terbabit.

Thursday, March 18, 2010

Azam Seorang Guru Di Pedalaman Sabah

BELURAN (Sabah): Seorang guru yang telah mengajar di kawasan pedalaman selama hampir 25 tahun masih mendapati banyak lagi yang perlu dilakukan beliau untuk membantu pelajar luar bandar.

Hassan Mentiak, guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Lubang Buaya, yang terletak di kawasan terpencil di sini memulakan karier sebagai guru di sekolah yang sama sebagai guru sandaran pada 1986.

Hassan yang berasal dari pekan Beluran mengingati kembali bagaimana perjalanan beliau untuk sampai ke sekolah berkenaan ketika itu, yang terpaksa melalui jalan darat dan menaiki bot, yang mengambil masa hampir satu hari.

Namun, semua itu tidak menjadi penghalang kepada beliau, yang meminati kerjaya sebagai pendidik, kerana matlamatnya adalah untuk membantu masyarakat di luar bandar keluar dari belenggu kemiskinan melalui pelajaran.

Bagaimana beliau yakin hanya melalui pelajaran, seseorang itu boleh mengubah diri dan kehidupan keluarga, berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri.

PERTAMA KALI DIHANTAR BERTUGAS

Pertama kali dihantar bertugas di SK Lubang Buaya pada 1986, dia tidak sama sekali risau mengenai lokasi sekolah berkenaan yang terletak jauh dan terpencil di luar bandar.

"Ketika itu saya hanya memikirkan untuk menabur bakti kepada anak bangsa terutama mereka yang berada di luar bandar dan membantu mereka keluar dari belenggu kemiskinan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di SK Lubang Buaya ketika lawatan kerja Anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee baru-baru ini.

Pada masa sekarang, SK Lubang Buaya, yang terletak di kawasan Sugud, masih dalam kategori antara sekolah terpencil di daerah ini dan untuk sampai ke situ mengambil masa empat jam dari sini menggunakan kenderaan hingga ke Jambatan Sungai Paitan di Jalan Sapi Nangoh-Paitan dan disusuli menaiki bot selama dua jam.

Sekolah ini membuka sesi persekolahan untuk Tahun 1 hingga Tahun 6 dan pada tahun ini akan membuka sebuah kelas untuk Pra-Sekolah.

Kampung ini dihuni kira-kira 350 penduduk terdiri daripada suku kaum dusun dengan kebanyakan mereka bekerja sendiri sebagai nelayan dan petani.

Untuk membeli barang keperluan rumah, penduduk kampung lebih tertumpu ke pekan terdekat iaitu di Kota Marudu yang mengambil masa tiga hingga empat jam untuk sampai ke situ.

CABARAN BERTUGAS

Bagi Hassan, setelah mengajar di sekolah itu sejak sekian lama, dia sudah biasa menghadapi semua cabaran itu dan kini menjadikan Kampung Lubang Buaya ini sebagai kampung keduanya.

Namun begitu, dia mahu melihat pembangunan di kampung itu terutama dalam aspek menaikkan prasarana dan kemudahan yang terdapat di SK Lubang Buaya.

Katanya masalah mendapatkan bekalan air bersih dan kekurangan kelas serta rumah guru masih dihadapi sekolah tersebut.

"Hanya terdapat sebuah rumah guru di sekolah itu dan pada masa sekarang terdapat empat guru mendiami rumah berkenaan.

"Dua lagi guru terpaksa tinggal di kelas yang diubah suai menjadi rumah, manakala seorang lagi guru tinggal bersama keluarga yang juga penduduk kampung berkenaan," katanya.

Hassan juga menjelaskan bahawa masalah utama yang dihadapi murid di sini, yang turut dialami oleh mana-mana sekolah kawasan pedalaman ialah aspek pengangkutan ke sekolah.

Katanya ramai murid menggunakan khidmat bot untuk ke sekolah dan jika berlaku banjir atau air sungai cetek, ia akan menjejaskan jumlah kehadiran murid.

KEKURANGAN PRASARANA

"Inilah masalah yang dihadapi oleh murid di sekolah ini dan bagi mengatasinya perlu ada sebuah asrama desa bagi membolehkan murid yang jauh tinggal di situ.

"Ia bukan sahaja mampu menyumbang kepada pencapaian akademik murid di sekolah tetapi dapat memastikan keselamatan mereka terjamin kerana ramai di antara mereka menggunakan bot untuk ke sekolah," katanya.

Sementara itu, anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee berkata, beliau akan memastikan projek membina rumah guru di SK Lubang Buaya akan disiapkan selepas projek itu terbengkalai.

Timbalan Pengarah Pembangunan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Yunus Charlie Charington yang turut menyertai lawatan itu memberi jaminan akan memberi perhatian terhadap perkara itu dan beliau sendiri akan membuat susulan.

Menurut Ronald masalah mendapatkan bekalan air bersih di sekolah itu juga akan diatasi dengan penambahan beberapa lagi tangki air yang berkapasiti besar bagi menampung keperluan guru dan murid.

Beliau berkata penyediaan prasarana dan kemudahan untuk pendidikan menjadi keutamaan kepada beliau kerana menyedari aspek pendidikan mampu mengubah hidup sesebuah keluarga terutama dari belenggu kemiskinan.

"Saya sendiri datang dari keluarga miskin dan berkat usaha ibu bapa menyekolahkan saya hingga ke menara gading, kini saya dapat mengubah hidup keluarga serta diri saya sendiri. Saya ingin melihat perkara yang sama bagi murid berkenaan".

Monday, March 8, 2010

MTQ Bahagian Sandakan Di SK Bukit Garam 2

Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) peringkat bahagian Sandakan yang dijadual akan berlangsung pada 8 APRIL ini akan berpindah ke SK Bukit Garam 2. sebelum ini mesyuarat pengetua, Guru-guru besar Kinabatangan dan wakil PPD Beluran, Sandakan dan Telupid telah memilih SMK Bukit Garam II sebagai tuan rumah.

Perpindahan ini berikutan bebanan tugas dan tempat yang sering menjadi tuan rumah bagi pelbagai acara diperingkat daerah dan bahagian. Pertukaran tempat ini juga dikira strategik kerana kemudahan SK Bukit Garam II tidak kurang hebatnya berbanding SMK Bukit Garam II. Apa lagi dengan keupayaan dan komitmen yang mampu dan telah diberikan oleh Guru besar SK Bukit Garam II, Tuan Hj Ramlee Gantari yang juga bekas penyelia Agama Bahagian Lahad Datu amat baik. Beliau cukup berpengalaman dan banyak berkorban untuk aktiviti-aktiviti agama selama ini.

SK Bukit Garam II juga pernah menjadi tuan rumah kepada MTQ peringkat bahagian Lahad Datu dan terbukti ianya berjaya disempurnakan dengan baik dan mendapat pujian Ketua Sektor Pendidikan Islam ketika itu, Ust Napiah Shahrani.

Tuesday, March 2, 2010

Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS) Sudah Bermula

Pihak Unit Penilaian dan Peperiksaan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinabatangan telah memulakan langkah menuju kepada pelaksanaan PBS secara lengkap dan sistematik. Semua Penolong Kanan 1, Ketua-ketua Bidang dan Ketua Pentaksiran Kawasan di panggil ke Pusat Kegiatan Guru(PKG) pada 3 hb MAC 2010 untuk mendengar dan memberi taklimat dan berbengkel.

Program yang dikendalikan oleh En Saiful Nizam Abu Bakar (Pemangku Pengetua SMK Sukau) dan Pun Haidah Edwad (Penolong Kanan 1 SMK lamag) telah memberi inpak yang cukup baik kepada peserta bengkel. Menurut En Saiful, bengkel ini perlu disempurnakan dan difahami dengan baik kerana pada tahun ini Ketua Pentaksiran Kawasan tidak akan memantau ke sekolah kerana jabatan kekurangan budget. Pentaksiran ini menjadi tanggungjawab penuh pihak sekolah dan pentaksirnya.

Menurut En Saiful lagi, berkemungkinan ketua Pentaksiran Kawasan akan ditugas menyelaras dan menjadi pakar rujuk bagi guru-guru Pendidikan Islam yang menghadapi masalah dalam pelaksanaan PBS.

Selain itu, guru-guru pentaksiran Pendidikan Islam PMR juga boleh merujuk kepada blog ustazah Rusnani, Ketua Pentaksir Negeri Sabah.

Semoga dengan berjalan dan berjayanya bengkel ini, PBS dapat dilaksanakan dengan lancar dan menepati piawan yang dikehendaki Kementerian dan agama kita

Wednesday, February 17, 2010

Kursus Kenegaraan Untuk naikan Gaji

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Biro Tatanegara (BTN) mengadakan segera kursus kenegaraan kepada guru bagi sesi 2010 untuk membolehkan mereka menikmati anjakan gaji.

Ramai guru yang masih belum disahkan jawatan bimbang kerana BTN berkemungkinan tidak mengadakan kursus, sedangkan kursus itu perlu dihadiri bagi pengesahan jawatan.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya oleh Kementerian Pelajaran atas alasan peruntukan yang tidak mencukupi.

“Guru-guru tidak berpuas hati dan marah kerana salah satu syarat diwajibkan kerajaan untuk disahkan jawatan adalah wajib menghadiri dan lulus kursus BTN.

“Apabila mereka tidak sah jawatan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu antara satu hingga tiga tahun, mereka tidak boleh membuat pinjaman rumah dan kereta, selain tidak dapat menyambung pelajaran, ini yang membimbangkan mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Lok berkata, pihaknya turut difahamkan, hanya satu kursus BTN untuk kumpulan itu yang diadakan pada tahun lalu sedangkan begitu ramai guru yang layak untuk disahkan jawatan setiap tahun.

“Kita juga sudah rujuk perkara ini kepada BTN tapi mereka hanya minta guru mendaftar terlebih dulu dan tunggu masa untuk dipanggil. Malah, ada guru yang merayu untuk mengikuti kursus itu tapi akhirnya kecewa,” katanya.

“Kita minta pihak berkaitan bertindak supaya masalah ini diselesaikan dengan baik. Kalau dasarnya perlu diadakan, maka ia patut diadakan supaya guru dapat menjalankan tugas tanpa gangguan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Tuesday, February 9, 2010

Celaka Cikgu!

KOTA BHARU: Kerana mengeluarkan perkataan ‘celaka cikgu’, seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di sini, trauma selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa ‘amuk’ seorang guru dalam kejadian pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa dikatakan baru pulang dari tandas sebelum diminta mengeluarkan buku nota oleh guru terbabit. Bagaimanapun, mangsa yang belum sempat berbuat demikian tergamam apabila guru berkenaan secara tiba-tiba menarik kerusinya hingga terjatuh sebelum menarik baju serta mencekik bahagian mulut dan belakang lehernya.


Difahamkan, guru yang mendakwa terdengar mangsa mengeluarkan perkataan biadap itu kemudian merotannya sebanyak dua kali sebelum guru besar tiba ke kelasnya.


Menurut bapa mangsa, Lua Boon Hoe, 40, dia hanya mendapat tahu perkara itu pada hari berikutnya selepas dimaklumkan anak perempuannya yang berada di tingkatan lima di sekolah sama. Katanya, dia terkejut dengan kejadian itu dan meminta anaknya itu menceritakan perkara sebenar. “Saya tidak tahu kejadian itu sehinggalah anak perempuan secara tidak sengaja menceritakan perkara itu ketika makan malam pada Jumaat lalu.


“Saya memaksanya memberitahu perkara sebenar yang berlaku pada adiknya dan dia juga ada mengambil gambar kecederaan itu menggunakan telefon bimbit sebelum kami membuat laporan polis,” katanya.


Kesal dengan kejadian itu, dia membawa anaknya membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu pada jam 1.29 pagi, Sabtu lalu

ejurus membuat laporan itu, anaknya kemudian membuat pemeriksaan perubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan diminta menunggu selama dua minggu untuk diberi laporan perubatan.


Selain itu, Lua berkata selepas membuat laporan itu dia berjumpa dengan guru besar sekolah untuk mendapatkan penjelasan dan diberitahu kejadian itu akan disiasat pihak sekolah.


Bagaimanapun, permintaannya untuk berjumpa guru terbabit ditolak dan dia hanya dibenarkan berurusan dengan guru besar saja.


“Semalam saya sekali lagi ke sekolah berjumpa dengan guru terbabit. Dia memaklumkan terdengar anak saya cakap ‘celaka cikgu’ yang dianggap biadap dan mengakui merotannya tiga kali.


“Bagaimanapun, saya kesal kerana dia berkata tiada saksi yang mendengar anak saya bercakap seperti itu kepadanya. Dia juga hanya mengaku merotan anak saya dengan perlahan tetapi tidak melakukan perkara lain termasuk mencekiknya,” katanya.


Dia berkata, selepas kejadian itu anaknya tetap ke sekolah seperti biasa tetapi masih dirundung trauma dan rasa takut.


“Saya kecewa dengan kejadian ini kerana sebagai seorang guru, dia tidak boleh bertindak demikian dan merancang mengambil tindakan undang-undang menyaman guru terbabit,” katanya. Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Ghazali Ab Rahman berkata pihaknya akan meneliti perkara itu dengan mendapatkan laporan kejadian daripada sekolah terbabit.


Katanya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap guru terbabit sekiranya didapati bersalah.

Sumber : Harian Metro

Friday, January 22, 2010

Mesyuarat MTQ Kinabatangan

Pihak Sektor Pendidikan Islam Pejabat pelajaran daerah kinabatangan telah memanggil pentadbir dan GPI sekolah untuk mesyuarat MTQ 2010 di SK Bukit Garam 2 pada 26hb Januari ini.

mesyuarat kali ini dijangka akan membincangkan tentang persiapan tempat untuk MTQ kali ini. Ust Jumat amat berharap, pengurusan MTQpada tahun ini lebih baik daripada tahun lalu seterusnya dapat memperbaiki rangking daerah dalam penyertaan peringkat bahagian.

Kepada pihak sekolah yang belum mendapat surat, sila hubungi Ust Jumat Yusuman 013-8891657

Saturday, January 9, 2010

Tajuk Majlis Tadarus Al;-Quran (MTQ) 2010

Kita diminta bersedia dan menyiapkan pasukan bagi mengimarahkan Program Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) yang akan ditentukan tarikhnya oleh pejabat Pelajaran daerah untuk pertandingan di peringkat daerah.

Tajuk-tajuk dan ayat-ayat yang bakal dipertandingkan boleh didownload disini, seterusnya disebarkan kepada semua sekolah dan guru-guru terbabit.

MAJLIS TADARUS AL-QURAN
SEKOLAH-SEKOLAH KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
KALI KE-36
TAHUN 2010 M / 1431 H

SENARAI;

AYAT AL-QURAN, AYAT HAFAZAN, TAJUK SYARAHAN DAN TAJUK BERCERITA KISAH AL-QURAN

TEMA;

AL-QURAN PENJANA WAHDATUL UMMAH

Kami mengucapkan selamat berjuang dan membina daie-dai'e melalui MTQ. Selamat bertugas

Thursday, January 7, 2010

Selamat Bertugas Di Kinabatangan

Kami difahamkan hampir 90 orang guru-guru dihantar bertugas di Kinabatangan untuk sesi 2010 ini. Seramai 78 orang ditempatkan di sekolah rendah. Ini belum lagi dikira dengan guru-guru yang telah diposting pada akhir tahun lalu dan hanya sempat beberapa hari di sekolah sebelum tamat pengajian sesi 2009.

Kebanjiran guru di Kinabatangan sesuai dengan tuntutan setempat yang kekurangan guru terutama dikawasan pendalam Kinabatangan. Sama ada disebelah ulu sungai atau ulu laut.

Kami mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru yang ditempatkan di kawasan pendalaman kerana anda berpeluang merasai pengalaman sebenar warga Kinabatangan dan bagi guru dari semenanjung,kedatangan anda pasti lebih berharga dengan pengalaman ini.Anda pasti sukar untuk terjun ke dalam masyarakat Kinabatangan sekiranya, anda tidak terpilih ke Kinabatangan.

Bukan soal imbuhan elaun p1,p2 atau p3,akan tetapi cabaran dan tanggungjawab yang terpikul di bahu kalian. Terimalah dengan redha. Anggaplah surat penepatan yang anda terima sebagai suratan takdir yang mana Allah memilih anda untuk bersama masyarakat Kuamut, Desa Permai, Balat,Tundun Bohangin, Tidung-Tabing mahupun kg Abai. Anda adalah mereka yang layak, sebab itulah Allah takdir anda berada disana.

Berbagai perkara yang pasti kita fikirkan bila berada di pendalaman. Anak kecil,berjauhan dengan isteri, tiada suasana kehidupan, jauh dengan kawan-kawan,takut kena ilmu hitam dan bermacam-macam alasan yang kita selalu jumpa dan hadapi. Hadapilah dengan tabah. Sekiranya anda menerima takdir itu dengan terbuka,nescaya anda bakal berbahagia. Akan tetapi seandainya anda menyalahi takdir,anda aku terus dirundung malang yang tak berkesudahan, jiwa anda akan bercelaru biru. Hidup tidak ketentuan........ sedangkan masa tetap anda akan rempuh..... justeru itu positiflah pemikiran kita....hadapilah dengan tabah.

kami di pihak PGPIK sentiasa bersedia membantu kalian dengan kadar kemampuan yang ada.siapalah PGPIK tanpa sokongan dan dokongan kalian.Kebajikan ini tanggungjawab kita bersama dengan modal, tenaga,keupayaan kita bersama. Kami tidak mempunyai wang ringgit, magic power, kudrat untuk merubah nasib anda kerana kita adalah serupa. Marilah bergandingan tangan untuk sama-sama menjaga kebajikan kita.

Kepada guru-guru pendalam,khususnya guru semenanjung dan sarawak,yang berjauhan dengan keluarga dan sanak saudara, terimalah kami sebagai saudara kalian. Bawa berbincanglah sekiranya anda mempunyai kemuskilan dan masyaqaq dan bawa bersamalah sekiranya anda mempunyai modal untuk dikongsi.

Kepada guru-guru perempuan terutamanya.Jagalah diri dan hiasilah peribadi kita di tempat orang. Berpautlah di dahan hidup. Usah segan untuk meminta bantuan rakan seangkatan. Keselamatan anda sentiasa dibimbangi ibubapa yang berjauhan.

Berilah gambaran yang positif kepada keluarga dikampung halaman supaya merekatidak gusar dan salah anggap tentang keadaan kita.Biar mereka gembira dan bangga dengan khidmat anda di mana sekalipun anda berada. Pastinya guru tidak akan ditempatkan ditempat yang tiada orang kerana tugas guru mengajar orang. Manusia akan berkumpul mendengar pengucapan guru. Anda pasti diposisi yang terbaik.

Selamat berjuang dengan ikhlas kerana Allah.Yakin dan percaya bilamana kita menolong agama Allah,Allah akan bantu kita...... Takbir!!! Takbir!! Takbir!!

Salam Dari
Pengerusi PGPIK