Sunday, July 26, 2009

Adakah Guru Biasa Selamat ?

Email Oleh : Naninu Sakun

Adakah guru yang tiada berjawatan ataupun senang dipanggil guru biasa akan selamat ketika menjalankan tugas? Fenomena inilah yang selalu bermain di jiwa seorang guru. Rutin guru yang sudah berkeluarga, pagi bangun seawal jam 5 pagi menguruskan diri dan keluarga serta tanggungjawab sebagai seorang Islam melakukan solat subuh. Sesudah itu bersiap menghantar anak-anak ke sekolah dan terus ke sekolah untuk bertugas.Di sekolah mulalah sibuk mengajar hingga jam 2 petang termasuk kelas tambahan. Kadang-kadang berlanjutan ke jam 3 petang kerana mesyuarat.
Anak-anak guru di sekolah? Adakah guru biasa selamat? Itu baru sikit pengorbanan seorang guru biasa yang terpaksa berkorban demi untuk mendidik anak-anak Malaysia menjadi orang berguna. Persoalannya jika berlanjutan ke 5 petang kerja di sekolah, anak-anak guru macamana? Rasanya guru terpaksa berkorban walau anak-anak dia belum tentu selamat. Perkara ini bukan jadi omongan kosong tapi saya membawanya untuk kita memikirkan betapa besarnya tanggungjawab sebagai seorang guru biasa.

Sekarang hari cuti seperti Sabtu, jiwa seorang guru jadi terganggu. Kenapa? Ladap yang terpaksa di hadapi selama 7 hari. Mungkin yang bukan guru berkata 7 hari dalam setahun bukannya susah, tapi bila tolak campur dengan aktiviti-aktiviti sekolah yang mula melampau seperti motivasilah, khemah ibadat, rakan muda, program rakan sebaya, rombongan sekolah, hari anugerahlah dan bermacam-macam lagi. Adakah guru biasa selamat? Justeru tidak hairanlah mengikut kajian yang dibuat baru-baru ini banyak guru yang menjadi gila atau mengalami simpton kemurungan. Yang hairannya kerani-kerani sekolah, pembantu tadbir kerja hari Isnin hingga hari Jumaat sahaja. Sabtu dan Ahad bolehlah dengan keluarga mereka tapi guru? Dahlah bebanan buku stok juga dibebankan kepada guru. Adakah guru biasa selamat?

Ibu Bapa pelajar senantiasa perhati sahaja tindakan guru-guru. Jumpa sahaja kesalahan walaupun sikit melenting hingga ke pejabat pelajaran. Pegawai-pegawai ppd pun turunlah menyiasat dan kadang-kadang menghukum tanpa usul periksa. Pernah 1 kes yang saya jumpa, seorang guru tidak mahu bawa pelajar-pelajar ke majlis sukan sekolah lain kerana ibu bapa pelajar masih tidak beri surat keizinan. Guru Besar melenting sebab guru tersebut engkar. Bila diteliti memang patut guru tersebut tidak berbuat demikian kerana kalau terjadi sesuatu yang buruk, pasti Guru Besar akan lepas tangan punya. PPD apatah lagi.Tahu apa jadi pada guru tersebut? Beliau dipindahkan jauh ke pedalaman atas alasan guru besar kepada ppd bahawa guru tersebut tidak memberi kerjasama dan engkar perintah. Yang PPD pun tak menyiasat terus jalankan hukuman. Adakah guru biasa selamat? Tapi kalau guru besar yang kena tangkap khalwat, apa PPD buat, TUTUP KES..........Bukan cerita tipu 1 Taiping dah tahu..........

Kisah seterusnya berlaku pada isteri saya pula. Cuba 1 Malaysia bayangkan, seorang pengetua buat mesyuarat di bulan puasa bermula jam 2.30 petang habis jam 6 petang. Patutkah perkara ini? Pengetua memanglah ada kuasa, tapi dia tidak sedarkah tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Alasannya keluarga nombor 2. Memanglah boleh dia kata begitu sebab kahwinpun tidak umur dah 50 lebih. Adakah guru biasa selamat? Itu tragedi pertama yang berlaku kepada isteri saya, tragedi yang kedua lagi teruk. Isteri saya sudah banyak kali keguguran. Memang susah untuk lekat sebab menurut doktor rahim kurang kuat. Berusahalah saya dan isteri mendapat rawatan di hospital swasta. Alhamdulillah isteri saya mengandung, dan saya menjaga isteri saya sebaik mungkin takut keguguran lagi dan bila kandungan mencecah 4 bulan ada 1 peristiwa sedih berlaku lagi. Sepatutnya isteri saya mendapat rawatan di hospital kerajaan sebelah petang kerana pagi sekolah, namun pada hari berkenaan ada mesyuarat dibuat oleh pengetua tersebut lagi. Isteri saya telah berjumpa dengan pengetua tersebut memohon keizinan untuk pelepasan. Tahu apa pengetua tersebut kata, cikgu wajib hadir ke mesyuarat. Takpe nanti saya suruh cikgu lain hantar cikgu ke klinik tersebut mendapat rawatan disebelah pagi dan balik nanti cikgu naiklah bas ataupun teksi. Menangis isteri saya diklinik waktu menghubungi saya bila ditinggalkan di klinik tersebut. Apakah perasaan anda wahai pembaca 1 Malaysia? Adakah guru biasa selamat? ..............Dengarnya pengetua tersebut dah mengajar di daerah Kuala Kangsar pula......... Wahai pembaca, setiap apa yang saya paparkan di atas bukannya hendak menakutkan orang dari menjadi guru. Apa yang saya luahkan ini untuk mengingatkan pentadbir-pentadbir agar lebih berperasaan. Semoga guru biasa tidak terus terkorban...........

Wednesday, July 15, 2009

Cuepacs tuntut bonus dalam skim perkhidmatan

KUALA LUMPUR 15 Julai — Cuepacs menuntut supaya elemen bonus digabungkan dalam skim perkhidmatan kakitangan awam bagi memastikan ia dibayar setiap tahun.

Pada masa ini, bonus diberi mengikut budi bicara kerajaan berdasarkan kemampuannya tidak seperti sektor swasta yang menjadikannya sebagai amalan tahunan.

Pada waktu yang baik, 1.2 juta penjawat awam menikmati bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000.

Kongres itu juga mencadangkan supaya kadar faedah bagi pinjaman perumahan dikurangkan daripada empat peratus pada kadar sekarang kepada satu peratus setiap tahun.

Perkara itu merupakan antara beberapa cadangan baru kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada kajian semula syarat perkhidmatan kepada penjawat awam dalam satu memorandum yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak lama lagi.

Sumber-sumber CUEPACS memberitahu Bernama hari ini bahawa memorandum itu diluluskan pada mesyuarat majlis kongres di Ipoh baru-baru ini juga akan menuntut perubahan bagi bayaran gantian cuti rehat daripada maksimum 150 hari pada masa ini kepada jumlah sebenar cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul oleh para pegawai.

— LAGI CUEPACS-BONUS 2 KUALA LUMPUR Gantian cuti rehat adalah bayaran tunai bagi cuti tahun yang tidak digunakan yang dikumpul oleh seseorang pegawai sepanjang perkhidmatannya dengan kerajaan.

Satu lagi perubahan besar yang dituntut CUEPACS adalah berhubung pengiraan pencen.

Cuepacs mencadangkan supaya formula pencen yang ada sekarang dibuat berdasarkan gaji pokok terakhir ditukar bagi memasukkan juga semua elaun.

Ini bermakna apabila pengiraan pencen dibuat, semua elaun perumahan, kos hidup, makanan, perjalanan, pemandu, kesusahan dan keraian juga perlu dimasukkan kepada gaji pokok terakhir.

CUEPACS juga menuntut satu faedah baru dalam bentuk cuti tahun bagi menjaga anak yang sakit dengan tempohnya bergantung kepada tempoh keuzuran itu.

Satu lagi faedah baru yang diminta ialah bayaran balik bagi implan gigi dan rawatan mata.

Mengenai pelbagai skim perkhidmatan, Cuepacs menuntut supaya sistem kenaikan matriks digantikan dengan sistem linear dengan tambahan lima kenaikan.

Cuepacs juga mahu skim sub-profesional diwujudkan bagi pemegang diploma.

Sumber-sumber itu berkata para pemimpin Cuepacs begitu optimis bahawa kerajaan akan mempertimbang cadangan mereka dengan fikiran terbuka.

“Kami sedar bahawa cadangan itu, yang jika diterima keseluruhannya, akan meningkatkan kos pentadbiran kerajaan dengan begitu besar tetapi apa yang kami harapkan ialah permintaan kami itu akan dipenuhi secara berperingkat,” kata mereka.

— BERNAMA

Saturday, July 11, 2009

Guru Tercabar Lagi

Apa sudah jadi kepada profesional perguruan? Guru di rotan seperti anjing kurap. Di mana maruah seorang pendidik dihadapan ribuan pelajarnya? Di mana jaminan keselamatan seorang penjawat awam dipremisnya? Apa sudah jadi dengan akhlak ibubapa? Adakah keIKHLASan Guru boleh datang dan menjelma sebegitu mudah dalam mendidik pelajar yang ibubapanya samseng tidak bertempat?

Bapa Pelajar Menumbuk & Memukul Guru Guna Batang Paip

Seorang bapa pelajar tingkatan tiga, SMK Abdullah II, Semporna, Sabah bertindak berani menumbuk dan memukul seorang guru displin sekolah En. Zul Ahmad B. Kasuagi dengan menggunakan objek keras iaitu batang paip berkali-kali menyebabkan kecederaan parah pada bahagian badan guru tersebut serta menerima beberapa jahitan di bahagian kepala.

Kejadian berlaku pada jam 11.00 pagi ketika bapa pelajar yang berkerja sebagai seorang tentera berumur dalam lingkungan 30an dan juga ditemani oleh seorang lagi lelaki berusia lingkungan 50an yang dipercayai datuk kepada pelajar tersebut berjumpa dengan guru displin di sekolah seterusnya bertindak secara tiba-tiba menumbuk dan memukul guru tersebut berkali-kali tanpa berbincang terlebih dahulu. Seorang daripada rakan mangsa juga seorang guru cuba menyelamatkan mangsa dengan meleraikan pergaduhan. Suspek kemudiannya menjerit memanggil anaknya di tingkat bangunan bersebelahan kemudian terus membawa anaknya pulang tanpa sebarang makluman kepada pihak sekolah.

Kejadian ini telah disaksikan oleh beberapa orang guru dan juga pelajar yang kebetulan berada di tempat kejadian. Mangsa kemudiannya dihantar terus ke hospital berdekatan bagi mendapat rawatan kecemasan akibat pendarahan teruk di kepala. Bagaimanapun, mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah setelah mendapat rawatan.

Menurut pihak sekolah kejadian ini berlaku akibat salah faham bapa pelajar tersebut setelah anaknya telah dikenakan hukuman displin oleh guru berkenaan pada dua hari sebelumnya ketika sekolah menjalankan aktiviti ko-kurikulum pada hari Sabtu (4/7/09). Menurut sekolah juga,pelajar tersebut pernah melanggar displin sekolah beberapa kali dan telah diambil tindakan oleh sekolah.

Ekoran kejadian ini, laporan polis telah dibuat bagi menyoal siasat bapa pelajar tersebut serta Pegawai Tinggi Tentera di cawangan Semporna,Sabah juga telah melawat mangsa bagi mendapat maklumat dan penjelasan mengenai kejadian di rumah kediaman mangsa.

Sumber :Sabahdaily

Monday, June 29, 2009

Pelatih PLKN mati di Kem Guar Chenderai, Padang Besar

KANGAR: Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ditemui mati di tempat tidurnya di Kem Guar Chenderai, Padang Besar awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Deros yang ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini berkata, Abdul Malik Ishak, 18, disedari telah mati pukul 5.45 pagi ketika rakan sebiliknya cuba mengejutkannya untuk sembahyang Subuh.

Pelatih berasal dari Kampung Kampung Relong, Sik, Kedah mendaftar memasuki kem itu kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, mayat Abdul Malik telah dibawa ke HTF dan hasil bedah siasat menunjukkan kematiannya bukan disebabkan perbuatan khianat.

"Selain bedah siasat oleh HTF, anggota forensik Hospital Tuanku Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah juga turut menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Che Man berkata, pada masa ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kerana tiada tanda wujudkan perbuatan jenayah.

Katanya, mangsa belum lagi menjalani kegiatan lasak sejak menyertai kem kerana dalam tempoh dua minggu lalu, kem itu hanya menjalankan kerja-kerja pentadbiran.

Bapa mangsa, Ishak Sudin, 59, berkata, anak bongsu daripada tujuh adik beradik itu amat gembira untuk menyertai latihan itu selepas menerima surat tawaran beberapa minggu lalu.

"Saya tidak menggalakkannya kerana dia tidak begitu sihat dan menghidap lelah," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berharap orang ramai dan media massa tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian pelatih itu.

Beliau yang turut menziarahi jenazah Abdul Malik berkata pelatih berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan berdasarkan borang deklarasi kesihatannya yang diisi sendiri oleh pelatih.

"Ini merupakan kes pertama tahun ini bagi siri ketiga PLKN. Kita memahami apa sahaja pampasan ia tidak akan sama nilainya dengan kepergian Allahyarham," katanya.

Dr Abdul Latiff turut menunaikan solat jenazah di HTF bersama-sama Ketua Pengarah Jabatan Latihan khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mengenai prosedur deklarasi kesihatan pelatih PLKN, beliau berkata, ia akan diteruskan seperti biasa dan tiada cadangan untuk diganti.

Melalui prosedur itu, setiap pelatih PLKN perlu mengisi borang deklarasi kesihatan dan jika mereka mengisytiharkan diri mereka sebagai pengidap penyakit berbahaya termasuk epilepsi, mereka boleh memohon pengecualian daripada mengikuti latihan. BERNAMA

Friday, May 22, 2009

Guru diploma dapat durian runtuh

KUALA LUMPUR 21 Mei – Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) berpeluang menikmati skim perkhidmatan lebih baik apabila kerajaan mengumumkan kenaikan pangkat dan pertambahan kuota Guru Cemerlang sehingga 1,486 bagi pelbagai gred berkuat kuasa serta merta.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak pernah melupakan guru diploma.

‘‘Hari ini kita umumkan pula untuk PPPLD, berkuat kuasa serta merta jadi saya harap mereka berpuas hati,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-51 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan guru bukan siswazah cuma pengumuman kenaikan pangkat itu didahulukan kenaikan pangkat dan tambahan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

Berita gembira untuk PPPS itu diumumkan pada sambutan Hari Guru 2009 Peringkat Kebangsaan di Terengganu, 16 Mei lalu.

Pada sambutan Hari Guru itu, Muhyiddin telah meluluskan pertambahan 2,141 kuota untuk jawatan Guru dan Pengetua Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) siswazah di sekolah menengah berkuat kuasa serta merta.

Beliau juga berkata, kerajaan juga bersetuju mewujudkan 1,910 jawatan Guru Cemerlang bagi PPP Siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah.

Ekoran daripada pengumuman itu, guru PPLD telah menyatakan rasa kecewa mereka termasuk menghantar surat ke ruangan Forum Utusan Malaysia kelmarin.

Masalah yang sama turut dibangkitkan oleh Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd. Sabri Mohd. Arshad baru-baru ini yang mendakwa kerajaan ‘tidak bersikap adil’ terhadap guru bukan siswazah yang sudah lama berkhidmat di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Tuesday, May 12, 2009

Mesyuarat Pentakziran Berasaskan Sekolah di SMK Sri Lamag

Baru sahaja selesai mesyuarat Pentaksiran Berasasakan Sekolah (PBS) yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat SMK Sri Lamag.

Mesyuarat yang beberapa kali telah ditunda kerana masalah teknikal ini berlangsung di dalam keadaan penuh ceria kerana buat pertama kalinya guru-guru Pendidikan Islam peringkat sekolah menengah dapat berkumpul dan berbincang bagi menyelesaikan tanggungjawab terhadap pelajar mereka.

Mesyuarat yang julung-julung kali diadakan ini dipengerusikan oleh Ust Sabri Awang Teh, selaku Pengerusi Pasukan Kerja Pendidikan Islam daerah. Beliau telah melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada GPI yang hadir kerana beliau telah beberapa kali berusaha untuk mengadakan program ini.

Mesyuarat ini diisi dengan pengisian dan pembentangan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dikendalikan oleh Ust. Mohd Zaidi Mustafa, Ketua Pentaksiran Kawasan. Ustazah Fatimah dilantik sebagai setiausaha mesyuarat dan seterusnya akan bertindak sebagai setiausaha Pasukan Kerja Pendidikan Islam Peringkat sekolah Menengah.

Mesyuarat PBS ini memutuskan bahawa:-
1. PAFA dihabiskan di peringkat Tingkatan 1 dan 2, bagi mengurangkan bebanan Guru Tingkatan 3 dalam menyiapkan PBS
2. Ayat-ayat hafazan PBS dihafaz dan diberi penekanan dari tingkatan 1 dan 2. Guru Tingkatan 3 hanya menguji dan menjayakan PBS
3. Menyediakan Buku Rekod PAFA dan PBS peringkat daerah
4. Menyediakan borang kajian keupayaan dan penguasaan Al-Quran pelajar-pelajar tingkatan 3. Ini bertujuan mendapatkan statistik masalah buta dan sepek Al-Quran di daerah Kinabatangan. Kajian terhadap pelajar Tingkatan 3 di 4 buah sekolah Menengah Kinabatangan.

5. Menyelaraskan soalan PBS peringkat daerah
6. Menjadikan ayat hafazan PBS sebagai doa permulaan belajar bagi pendidikan Islam
7. Sistem Fail PBS dikemaskinikan dan senang dirujuk oleh Ketua Pentaksir
8. Pelaksanaan pentaksiran dimulakan pada awal tahun

Perkara-perkara lain turut diputuskan
1. Penyelarasan RPH
2. Menubuhkan pasukan pembina soalan peringkat daerah
3. Membuat Bush Jaket [lelaki]dan Jubah [perempuan] bagi GPI
4. Perkongsian bahan P & P

Jutaan terima kasih kepada pihak SMK Lamag atas kesudian menjadi tuan rumah dan usaha Ustazah Idayati Ismail (ketua Panitia) yang bertungkus lumus menjayakan mesyuarat dan taklimat ini.

Thursday, May 7, 2009

Telefon bimbit di sekolah

GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.

GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.

Ini dibuktikan dengan beberapa kejadian membabitkan pelajar dan penyebaran video lucah serta buli yang dirakam menggunakan telefon bimbit di sekolah.


Kini, isu membawa telefon bimbit ke sekolah mendapat perhatian ramai sehingga kementerian mengeluarkan arahan kepada sekolah supaya merampas daripada pelajar dan hanya dikembalikan jika ibu bapa atau penjaga menuntutnya.

Persoalannya, adakah tindakan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah semata-mata untuk menyebarkan unsur negatif?

Benarkah tumpuan mereka dalam pelajaran 100 peratus terganggu hanya kerana telefon bimbit?

Sesetengah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan turut membawa telefon bimbit ke sekolah.

Selain itu, adakah pelajar sendiri berkeras mahu membawa telefon bimbit ke sekolah atau diminta ibu bapa?

Pelajar sekolah menengah perempuan di Kuantan, Pahang, Nur Atiqah Najwa Zainuddin, 18, berkata dia membawa telefon bimbit ke sekolah bukan untuk menyebarkan perkara negatif, tetapi memudahkan berhubung dengan keluarga dan rakan.

Menurutnya, pelajar terikat dengan jadual waktu pembelajaran dan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jika ada maklumat atau perubahan, mereka boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi keluarga dengan pantas.

“Sebagai pelajar, kami ada kelas tambahan serta aktiviti kokurikulum selepas tamat waktu persekolahan.

“Jika ada kelas tambahan atau aktiviti kokorikulum pada saat akhir, kami dapat memaklumkan kepada keluarga, jadi ibu bapa pun tidak risau,” katanya.

Katanya, membawa telefon bimbit satu langkah keselamatan terutama selepas tamat waktu persekolahan dan di luar sekolah.

“Tidak semua pelajar dijemput ibu bapa atau menaiki bas sekolah, ada terpaksa menggunakan pengangkutan awam ke rumah.

“Dengan menggunakan telefon bimbit, kami boleh menghubungi keluarga atau penjaga jika menghadapi masalah,” katanya.

Menurutnya, telefon bimbit bukan digunakan sepanjang masa, jika waktu pembelajaran, ia akan dimatikan bagi menumpukan kepada pengajaran guru.

“Soal fokus kepada pembelajaran tidak timbul jika mempunyai telefon bimbit kerana kami tahu bila untuk menggunakan kemudahan itu.

“Masyarakat jangan fikirkan soal negatif kerana banyak manfaat telefon bimbit kepada kami,” katanya.

Atiqah mengakui, sebagai pelajar perempuan, mempunyai sesuatu benda yang lebih terkini dan canggih daripada rakan sekelas adalah satu kebanggaan.

“Setiap hari, kami sesama pelajar akan sentiasa menunjukkan benda baru melalui telefon bimbit terutama lagu terkini.

“Kami sekadar bertukar pendapat, bukan menyalahgunakan kemudahan itu,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd Yusrie Mohamed Satar, 43, berkata pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana ia keperluan dan langkah keselamatan jika mahu menghubungi keluarga.

“Saya sendiri lebih mudah menghubungi anak jika hari itu mungkin datang lewat untuk mengambil dia di sekolah.

“Isu telefon bimbit di sekolah ada pro dan kontra, tetapi masyarakat perlu melihat daripada aspek positif termasuk peningkatan jenayah terutama membabitkan pelajar sekolah.

“Jika berlaku kes kecemasan selepas waktu persekolahan, apa cara untuk menghubungi jika tidak membawa telefon bimbit?

“Telefon bimbit masa kini adalah keperluan, bukan barangan mewah atau sekadar untuk bergaya,” katanya.

Mengenai penyalahgunaan dan mengganggu tumpuan pelajar di bilik darjah, bapa kepada tiga orang anak ini meminta guru kelas memantau dan mengambil tindakan keras jika pelajar bersalah.

“Guru boleh mengarahkan pelajar mematikan telefon bimbit dan meletakkannya di meja guru sepanjang sesi pembelajaran.

“Atau pihak sekolah boleh melarang penggunaan telefon bimbit sepanjang sesi persekolahan dan hanya boleh digunakan selepas waktu persekolahan,” katanya.