Wednesday, April 1, 2009

Jabatan Pelajaran Sarawak terkejut laporan jenayah pelajar

SIBU: Jabatan Pelajaran Sarawak terkejut dengan laporan polis semalam berhubung peningkatan kes jenayah di kalangan pelajar di negeri ini.


Pengarahnya, Dr Julaihi Bujang, berkata pihaknya akan mendapatkan butiran terperinci mengenai laporan itu daripada pihak polis.

"Saya kena check betul-betul perkara ini. Saya sendiri belum dimaklumkan.

"Isu jenayah dan kes disiplin adalah dua perkara yang berbeza. Pihak sekolah, pegawai dan jabatan pelajaran menangani disiplin pelajar sementara kes jenayah di kalangan pelajar dikendalikan oleh pihak polis," tambahnya.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh berkata, berlaku peningkatan membimbangkan kes jenayah yang membabitkan pelajar di Sarawak sejak 2006, di mana seramai 162 pelajar ditahan selepas terbabit dengan kes bunuh, peras ugut dan rompakan tahun lalu berbanding 132 kes pada 2007 dan 87 kes pada 2006.

"Kes bunuh pun saya tidak tahu," katanya yang ternyata terkejut dengan laporan itu.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menekankan khidmat kaunseling dan penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum untuk menangani masalah disiplin pelajar. - Bernama

No comments: