Monday, April 27, 2009

Ust Jumat Yusuman Penyelia Agama PPD Kinabatangan

Pihak Persatuan Guru Pendidikan Islam Kinabatangan (PGPIK) mengalu-alukan perlantikan Ust Jumat Yusuman sebagai penyelia Agama Pejabat Pelajaran daerah Kinabatangan. Perlantikan Ust Jumat dianggap bertepatan dengan kebolehan dan kelayakannya beliau dan kena pada masanya.

Sebelum ini, Ust Jumat bertugas di SK Batu Putih dan merupakan Jurulatih Utama Pendidikan Islam Sekolah Rendah Kinabatangan. Beliau seorang guru agama yang aktif memainkan peranan di sekolah dan turut terlibat dalam aktiviti keagamaan kepada masyarakat khususnya pada masyarakat Batu Putih dan kampung Batu 5, Pekan Bukit Garam.

Ust Jumat antara guru Pendidikan Islam yang cukup senior dan dihormati oleh kawan-kawan dan rakat sejawat. Sikap rendah diri dan mudah mesra bakal menjadi senjata utama Ust Jumat dalam mengurus Guru-guru Pendidikan Islam dan Ko-kurikulum.

" Kita cukup berbangga dengan pemilihan Ust Jumat yang juga merupakan seorang guru Pendidikan Islam yang berpengalaman dan berkebolehan. Sudah sekian lama kita menunggu penyelia Agama dari guru pendidikan Islam yang terlibat secara langsung dan lebih memahami kekangan yang dihadapi oleh Guru Pendidikan Islam, baik di peringkat daerah atau bahagian" ujur Ust Zaidi selaku pengerusi Persatuan Guru Pendidikan Islam Kinabatangan (PGPIK), dalam masa yang sama beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada En Kimarun Osman yang telah banyak membantu Guru-guru Pendidikan Islam Daerah.

Kepada Ust Jumat, selamat berjuang dan kami hulurkan tangan kerjasama untuk sama-sama mempertingkatkan kualiti dan kuantiti dakwah dan akademik masyarakat. Semoga amanah ini bakal menatijahkan hasil yang lebih baik dan dilimpahi sinar Islam... Selamat berjuang sahabatku...

Tuesday, April 7, 2009

Guru Pendalaman

WALAUPUN menyedari tanggungjawab dan peranan profesion perguruan, ia bukan satu persetujuan bagi lepasan institusi perguruan untuk menerima tawaran mengajar di kawasan pedalaman.

Selain faktor kedudukan sekolah yang jauh, kebanyakan mereka sukar menerima jika dihantar bertugas di luar kawasan disebabkan stigma negatif iaitu kemudahan terhad.


Lantaran itu, ada yang sanggup menganggur dan menukar profesion daripada dihantar bertugas nun jauh di pedalaman.

Mereka yang menyedari tanggungjawab dan peranan sebagai pendidik anak bangsa pula menerima tawaran terbabit walaupun terpaksa.

Guru sekolah pedalaman di Sekolah Kebangsaan (SK) Balur, Gua Musang, Kelantan, Hazizul Mamat, 28, berkata selepas ditawarkan untuk mengajar di Gua Musang, dia menerimanya dengan hati yang gembira kerana masih berada di dalam negeri kelahirannya.

"Namun, selepas sesi taklimat bersama guru besar sekolah itu dan menjejakkan kaki ke sekolah tempat mengajar, hati saya meronta untuk balik ke kampung.

"Perjalanan yang jauh dengan menggunakan kereta pacuan empat roda dan terpaksa merentasi tiga batang sungai saya boleh terima.

"Tetapi sebaik saja sampai ke sekolah itu dan melihat keadaannya, saya hanya mampu menitiskan air mata dan mahu pulang," katanya.

Bagaimanapun, disebabkan tanggungjawab, Hazizul yang pada ketika itu berusia 21 tahun, pasrah dan meneruskan perjuangan sebagai seorang pendidik di sekolah Orang Asli sehingga kini.

Bercerita mengenai pengalaman mengajar di sekolah pedalaman, Hazizul mengakui cabaran utama mereka hanyalah perjalanan dan penyesuaian diri.

"Dari segi mengajar, tidak banyak masalah yang dihadapi kerana kebanyakan pelajar di sekolah itu mempunyai minat untuk belajar.

"Tetapi, penyesuaian diri di perkampungan Orang Asli dan perjalanan ke sekolah adalah cabaran terbesar yang perlu saya tempuh," katanya.

Hazizul berkata, dia terpaksa menempuh banyak halangan dalam perjalanan berikutan sekolah itu yang terletak di kawasan paling pedalaman di Gua Musang.

"Untuk sampai ke sekolah ini, saya terpaksa merentasi laluan hutan yang dipenuhi dengan binatang buas.

"Selain itu, bertembung dengan lori balak dan debu yang tebal sehingga buku lali juga adalah halangan serta risiko yang perlu dihadapi.

"Sepanjang berkhidmat selama tujuh tahun di sekolah ini, pengalaman yang pasti tidak akan saya lupakan ialah terpaksa tidur di tepi sungai apabila air sungai naik," katanya.

Menurutnya, dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran serta masyarakat pula, ia sedikit sukar terutama dari segi penginapan.

"Ini kerana, saya adalah satu-satunya guru yang mengajar di sekolah itu selain guru besar. Jadi, tidak ada rumah penempatan untuk guru di sini.

"Namun, alhamdulillah, sekarang keadaan sudah bertambah baik dan ia tidak lagi seperti dulu. Bilangan guru pun sudah bertambah," katanya yang dua kali menolak tawaran pertukaran sekolah.

Sementara itu, Azhar Abdul Aziz, 31, guru pedalaman di SK Bukit Mat Daling, Hulu Tembeling, Pahang berkata, mengajar di sekolah terbabit adalah pengalaman yang cukup bermakna buatnya.

"Ketika menerima surat tawaran, sekolah ini beralamat di Jerantut dan bukannya di Hulu Tembeling. Jadi saya tidak kisah sangat.

"Namun, selepas bertemu dengan guru besar, barulah saya tahu yang sekolah itu terletak di pedalaman dan terpaksa menaiki perahu," katanya.

Menurutnya, pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ialah ditipu guru besar yang memaklumkan perjalanan untuk sampai ke sekolah dengan menaiki perahu hanya memakan masa sejam, tetapi sebenarnya perjalanan yang ditempuh selama empat hingga lima jam.

"Ketika baru menaiki perahu, setiap kali saya bertanya kepada guru besar, dia hanya menjawab, dekat lagi. Jadi saya hanya tunggu sehinggalah tiga kali bangun daripada tidur, masih juga tidak sampai dan guru besar hanya mampu tersenyum melihat gelagat saya.

"Selain itu, disebabkan sekolah terbabit dikatakan berada di kawasan pedalaman, keluarga membekalkan saya dengan peralatan memasak seperti periuk, kuali dan bahan mentah kerana beranggapan ia tidak dapat diperoleh di kedai di sini," katanya.

Kini, selepas 10 tahun menjadi guru di sekolah itu, Azhar menjadi lebih matang dan gembira menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.

Guru berpolitik

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


APABILA isu pembabitan guru dalam politik dicadangkan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini, ia menerima pelbagai reaksi masyarakat.

APABILA isu pembabitan guru dalam politik dicadangkan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini, ia menerima pelbagai reaksi masyarakat.

Ada menyambut baik cadangan itu, tetapi meletakkan syarat tertentu dan yang lain mahu golongan pendidikan dilarang menyertai politik kerana bimbang menjejaskan mutu pendidikan.


Mengikut Perlembagaan Persekutuan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 P U (A) 246, pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.

Pegawai kerajaan Kumpulan A atau Pengurusan juga dilarang mengambil bahagian secara aktif dalam politik seperti berkempen, sama ada pada waktu pejabat atau luar waktu pejabat.

Bagaimanapun, jika cadangan itu ditarik balik, apakah guru mampu memberi sumbangan terhadap usaha memartabatkan industri pendidikan negara sedangkan mereka terpaksa menjalankan dua tanggungjawab serentak?

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peramu Jaya, Ibrahim Awang Ismail, berkata pembabitan guru dalam politik tidak menjejaskan pendidikan negara terutama generasi muda.

Beliau yang juga bekas guru besar, berkata kejayaan guru berpolitik sudah dibuktikan sejak Umno ditubuhkan.

"Berpolitik dalam kalangan guru bukannya baru kerana sejarah membuktikan pejuang bangsa dahulu terdiri daripada golongan pendidik malah mereka dipandang tinggi dalam masyarakat.

"Walaupun bertanggungjawab mendidik, mereka turut memperjuangkan bangsa Melayu," katanya.

Pembabitan guru dalam bidang politik juga dilihat mampu melahirkan idea baru kerana mereka dekat dan dihormati masyarakat.

Menurutnya, cadangan Hishammuddin mungkin bertitik- tolak daripada trend masa kini apabila bidang politik lebih banyak dimonopoli golongan korporat.

"Pembabitan guru membantu melahirkan golongan ahli politik yang berkebolehan dengan idea bernas dan segar.

"Tiada salahnya seseorang guru itu berpolitik asal mereka mempunyai minat dan bersikap profesional," katanya.

Katanya, masalah guru mengabaikan tanggungjawab mendidik anak bangsa kerana berpolitik tidak akan timbul kerana beliau percaya mereka boleh menguruskan masa dengan baik.

"Sebagai pendidik, mereka sentiasa bersikap profesional dan bertanggungjawab.

"Jadi, saya pasti guru yang berpolitik ini mampu melakukan dua tanggungjawab dalam satu masa," katanya yang berpengalaman 25 tahun menjadi pendidik.

Mengulas Perlembagaan Persekutuan melarang pegawai dalam kumpulan A dan pengurusan tertinggi terbabit aktif dalam politik, Ibrahim berkata perlembagaan boleh dipinda jika mendapat persetujuan ramai.

"Kita yang mencipta Perlembagaan, justeru tiada masalah untuk meminda atau mengubah asalkan mendapat persetujuan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

"Pada masa sekarang pun, ada guru terbabit dalam politik secara diam-diam, justeru lebih baik memberi kebenaran daripada mereka melakukannya secara rahsia," katanya.

Jika guru mahu aktif dalam politik, Ibrahim menasihatkan mereka sentiasa bertanggungjawab kepada kerjaya dan politik.

"Jika menyertai mana-mana parti politik pun, mereka perlu bersikap adil dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohd Hilmi Ramli, berkata pembabitan guru dalam politik lebih banyak memberikan impak negatif berbanding positif.

Menurutnya, jika guru berpolitik, ia akan menjejaskan pendidikan anak bangsa selain memecahbelahkan bangsa Melayu.

"Guru perlu bersikap neutral dan tidak memihak mana-mana parti politik.

"Saya percaya golongan guru tahu pendirian mereka sebagai pendidik dan lebih bertanggung jawab untuk memberi ilmu kepada pelajar.

"Jika taksub kepada mana-mana politik pun, jangan dibawa sentimen atau emosi di sekolah termasuk ketika mengajar dalam kelas.

"Jika emosi mengenai kepartian dibawa ke sekolah, saya bimbang perpecahan masyarakat bertambah parah," katanya.

Katanya, bangsa Melayu sudah berpecah-belah dengan adanya pelbagai parti politik dan tidak punya persepakatan.

Hilmi berkata, kebanyakan guru dahulu adalah pejuang politik terutama ketika era menuntut kemerdekaan dan penubuhan Umno.

Bagaimanapun, katanya dengan perkembangan semasa yang gawat, pembabitan golongan pendidik dalam arena politik tidak sesuai.

"Jika golongan guru dibenarkan berpolitik, pegawai kerajaan lain pastinya mahu hak yang sama dan ini menimbulkan pelbagai implikasi kepada masyarakat serta negara.

"Jika semua pihak asyik berpolitik, apa akan jadi kepada urusan penting negara dan jika dilakukan pun, mungkin kualitinya merudum," katanya.

Bagaimanapun, katanya jika golongan itu tetap mahu terbabit secara aktif dalam politik, mereka boleh berhenti dan meletak jawatan sebagai pendidik.

Wednesday, April 1, 2009

Jabatan Pelajaran Sarawak terkejut laporan jenayah pelajar

SIBU: Jabatan Pelajaran Sarawak terkejut dengan laporan polis semalam berhubung peningkatan kes jenayah di kalangan pelajar di negeri ini.


Pengarahnya, Dr Julaihi Bujang, berkata pihaknya akan mendapatkan butiran terperinci mengenai laporan itu daripada pihak polis.

"Saya kena check betul-betul perkara ini. Saya sendiri belum dimaklumkan.

"Isu jenayah dan kes disiplin adalah dua perkara yang berbeza. Pihak sekolah, pegawai dan jabatan pelajaran menangani disiplin pelajar sementara kes jenayah di kalangan pelajar dikendalikan oleh pihak polis," tambahnya.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh berkata, berlaku peningkatan membimbangkan kes jenayah yang membabitkan pelajar di Sarawak sejak 2006, di mana seramai 162 pelajar ditahan selepas terbabit dengan kes bunuh, peras ugut dan rompakan tahun lalu berbanding 132 kes pada 2007 dan 87 kes pada 2006.

"Kes bunuh pun saya tidak tahu," katanya yang ternyata terkejut dengan laporan itu.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menekankan khidmat kaunseling dan penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum untuk menangani masalah disiplin pelajar. - Bernama