Thursday, March 18, 2010

Azam Seorang Guru Di Pedalaman Sabah

BELURAN (Sabah): Seorang guru yang telah mengajar di kawasan pedalaman selama hampir 25 tahun masih mendapati banyak lagi yang perlu dilakukan beliau untuk membantu pelajar luar bandar.

Hassan Mentiak, guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Lubang Buaya, yang terletak di kawasan terpencil di sini memulakan karier sebagai guru di sekolah yang sama sebagai guru sandaran pada 1986.

Hassan yang berasal dari pekan Beluran mengingati kembali bagaimana perjalanan beliau untuk sampai ke sekolah berkenaan ketika itu, yang terpaksa melalui jalan darat dan menaiki bot, yang mengambil masa hampir satu hari.

Namun, semua itu tidak menjadi penghalang kepada beliau, yang meminati kerjaya sebagai pendidik, kerana matlamatnya adalah untuk membantu masyarakat di luar bandar keluar dari belenggu kemiskinan melalui pelajaran.

Bagaimana beliau yakin hanya melalui pelajaran, seseorang itu boleh mengubah diri dan kehidupan keluarga, berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri.

PERTAMA KALI DIHANTAR BERTUGAS

Pertama kali dihantar bertugas di SK Lubang Buaya pada 1986, dia tidak sama sekali risau mengenai lokasi sekolah berkenaan yang terletak jauh dan terpencil di luar bandar.

"Ketika itu saya hanya memikirkan untuk menabur bakti kepada anak bangsa terutama mereka yang berada di luar bandar dan membantu mereka keluar dari belenggu kemiskinan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di SK Lubang Buaya ketika lawatan kerja Anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee baru-baru ini.

Pada masa sekarang, SK Lubang Buaya, yang terletak di kawasan Sugud, masih dalam kategori antara sekolah terpencil di daerah ini dan untuk sampai ke situ mengambil masa empat jam dari sini menggunakan kenderaan hingga ke Jambatan Sungai Paitan di Jalan Sapi Nangoh-Paitan dan disusuli menaiki bot selama dua jam.

Sekolah ini membuka sesi persekolahan untuk Tahun 1 hingga Tahun 6 dan pada tahun ini akan membuka sebuah kelas untuk Pra-Sekolah.

Kampung ini dihuni kira-kira 350 penduduk terdiri daripada suku kaum dusun dengan kebanyakan mereka bekerja sendiri sebagai nelayan dan petani.

Untuk membeli barang keperluan rumah, penduduk kampung lebih tertumpu ke pekan terdekat iaitu di Kota Marudu yang mengambil masa tiga hingga empat jam untuk sampai ke situ.

CABARAN BERTUGAS

Bagi Hassan, setelah mengajar di sekolah itu sejak sekian lama, dia sudah biasa menghadapi semua cabaran itu dan kini menjadikan Kampung Lubang Buaya ini sebagai kampung keduanya.

Namun begitu, dia mahu melihat pembangunan di kampung itu terutama dalam aspek menaikkan prasarana dan kemudahan yang terdapat di SK Lubang Buaya.

Katanya masalah mendapatkan bekalan air bersih dan kekurangan kelas serta rumah guru masih dihadapi sekolah tersebut.

"Hanya terdapat sebuah rumah guru di sekolah itu dan pada masa sekarang terdapat empat guru mendiami rumah berkenaan.

"Dua lagi guru terpaksa tinggal di kelas yang diubah suai menjadi rumah, manakala seorang lagi guru tinggal bersama keluarga yang juga penduduk kampung berkenaan," katanya.

Hassan juga menjelaskan bahawa masalah utama yang dihadapi murid di sini, yang turut dialami oleh mana-mana sekolah kawasan pedalaman ialah aspek pengangkutan ke sekolah.

Katanya ramai murid menggunakan khidmat bot untuk ke sekolah dan jika berlaku banjir atau air sungai cetek, ia akan menjejaskan jumlah kehadiran murid.

KEKURANGAN PRASARANA

"Inilah masalah yang dihadapi oleh murid di sekolah ini dan bagi mengatasinya perlu ada sebuah asrama desa bagi membolehkan murid yang jauh tinggal di situ.

"Ia bukan sahaja mampu menyumbang kepada pencapaian akademik murid di sekolah tetapi dapat memastikan keselamatan mereka terjamin kerana ramai di antara mereka menggunakan bot untuk ke sekolah," katanya.

Sementara itu, anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee berkata, beliau akan memastikan projek membina rumah guru di SK Lubang Buaya akan disiapkan selepas projek itu terbengkalai.

Timbalan Pengarah Pembangunan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Yunus Charlie Charington yang turut menyertai lawatan itu memberi jaminan akan memberi perhatian terhadap perkara itu dan beliau sendiri akan membuat susulan.

Menurut Ronald masalah mendapatkan bekalan air bersih di sekolah itu juga akan diatasi dengan penambahan beberapa lagi tangki air yang berkapasiti besar bagi menampung keperluan guru dan murid.

Beliau berkata penyediaan prasarana dan kemudahan untuk pendidikan menjadi keutamaan kepada beliau kerana menyedari aspek pendidikan mampu mengubah hidup sesebuah keluarga terutama dari belenggu kemiskinan.

"Saya sendiri datang dari keluarga miskin dan berkat usaha ibu bapa menyekolahkan saya hingga ke menara gading, kini saya dapat mengubah hidup keluarga serta diri saya sendiri. Saya ingin melihat perkara yang sama bagi murid berkenaan".

Monday, March 8, 2010

MTQ Bahagian Sandakan Di SK Bukit Garam 2

Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) peringkat bahagian Sandakan yang dijadual akan berlangsung pada 8 APRIL ini akan berpindah ke SK Bukit Garam 2. sebelum ini mesyuarat pengetua, Guru-guru besar Kinabatangan dan wakil PPD Beluran, Sandakan dan Telupid telah memilih SMK Bukit Garam II sebagai tuan rumah.

Perpindahan ini berikutan bebanan tugas dan tempat yang sering menjadi tuan rumah bagi pelbagai acara diperingkat daerah dan bahagian. Pertukaran tempat ini juga dikira strategik kerana kemudahan SK Bukit Garam II tidak kurang hebatnya berbanding SMK Bukit Garam II. Apa lagi dengan keupayaan dan komitmen yang mampu dan telah diberikan oleh Guru besar SK Bukit Garam II, Tuan Hj Ramlee Gantari yang juga bekas penyelia Agama Bahagian Lahad Datu amat baik. Beliau cukup berpengalaman dan banyak berkorban untuk aktiviti-aktiviti agama selama ini.

SK Bukit Garam II juga pernah menjadi tuan rumah kepada MTQ peringkat bahagian Lahad Datu dan terbukti ianya berjaya disempurnakan dengan baik dan mendapat pujian Ketua Sektor Pendidikan Islam ketika itu, Ust Napiah Shahrani.

Tuesday, March 2, 2010

Pentaksiran Berasaskan Sekolah(PBS) Sudah Bermula

Pihak Unit Penilaian dan Peperiksaan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinabatangan telah memulakan langkah menuju kepada pelaksanaan PBS secara lengkap dan sistematik. Semua Penolong Kanan 1, Ketua-ketua Bidang dan Ketua Pentaksiran Kawasan di panggil ke Pusat Kegiatan Guru(PKG) pada 3 hb MAC 2010 untuk mendengar dan memberi taklimat dan berbengkel.

Program yang dikendalikan oleh En Saiful Nizam Abu Bakar (Pemangku Pengetua SMK Sukau) dan Pun Haidah Edwad (Penolong Kanan 1 SMK lamag) telah memberi inpak yang cukup baik kepada peserta bengkel. Menurut En Saiful, bengkel ini perlu disempurnakan dan difahami dengan baik kerana pada tahun ini Ketua Pentaksiran Kawasan tidak akan memantau ke sekolah kerana jabatan kekurangan budget. Pentaksiran ini menjadi tanggungjawab penuh pihak sekolah dan pentaksirnya.

Menurut En Saiful lagi, berkemungkinan ketua Pentaksiran Kawasan akan ditugas menyelaras dan menjadi pakar rujuk bagi guru-guru Pendidikan Islam yang menghadapi masalah dalam pelaksanaan PBS.

Selain itu, guru-guru pentaksiran Pendidikan Islam PMR juga boleh merujuk kepada blog ustazah Rusnani, Ketua Pentaksir Negeri Sabah.

Semoga dengan berjalan dan berjayanya bengkel ini, PBS dapat dilaksanakan dengan lancar dan menepati piawan yang dikehendaki Kementerian dan agama kita