Monday, January 5, 2009

STAM diiktiraf setaraf STPM

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), akan dinaik taraf setanding Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sekali gus menjadikannya sebahagian kurikulum kebangsaan.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataannya di sini, semalam, berkata beliau sendiri akan memastikan beberapa pindaan dibuat pada Peraturan-Peraturan Kurikulum dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi membolehkan mana-mana mata pelajaran STAM dimasukkan dalam Kurikulum Kebangsaan.

Selain itu, Hishammuddin berkata, beberapa tindakan susulan akan dijalankan segera termasuk mewujudkan norma perjawatan, menyediakan geran perkapita bagi setiap mata pelajaran dalam STAM dan menyediakan peruntukan khas bagi membolehkan guru yang mengajar STAM diberikan kursus sewajarnya.

“Dianggarkan peruntukan RM2,105,100 setahun diperlukan bagi melaksanakan usaha itu.


“Buat permulaan, satu surat kelulusan pengiktirafan akan dikeluarkan kementerian kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan mereka membuat persediaan sewajarnya terutama menentukan skim yang sesuai dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Hishammuddin berkata, langkah menaik taraf STAM amat penting berikutan ia hanya diterima sebagai syarat kemasukan ke Universiti Al-Azhar, Mesir dan beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini.

“Justeru, saya kira status STAM belum memadai dan lantaran itu STAM perlu diperkasa dan dinaik taraf bagi membolehkannya diiktiraf sebagai sijil paling tinggi dalam bidang agama di peringkat sekolah.

“Dalam konteks ini, saya berkeyakinan untuk menaik taraf dan memperkasakan STAM, ia perlu dijadikan sebahagian kurikulum kebangsaan dan bagi membolehkannya dijadikan sebagai syarat lantikan dalam perkhidmatan awam, ia perlu dinaik taraf sama seperti STPM,” katanya.

No comments: