"Kita membantah jika kenaikan pangkat hanya diberi apabila terdapat kekosongan jawatan kerana objektif PROSPEK tidak tercapai. Apabila pulang dari berkursus mereka hendaklah dinaikkan pangkat," kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.
"Dulu masa ada PTK (Penilaian Tahap Kecekapan), kita ada aras melintang dan menegak tapi dalam PROSPEK konsep melintang dan menegak tiada. Jadi kita mahu ia digantikan dengan tiga kenaikan, baru ada perubahan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai RISDA Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata, CUEPACS sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara berhubung pelaksanaan PROSPEK.
Katanya, terdapat beberapa perkara yang tidak disentuh dan perlu dimasukkan dalam PROSPEK supaya terdapat perubahan lebih baik berbanding PTK.
"Antara permintaan lain CUEPACS ialah pelantikan panel berwibawa bagi membuat penilaian terhadap penjawat awam selain dua pegawai mewakili kesatuan sekerja supaya penilaian yang dibuat lebih adil dan saksama," katanya.
Omar juga berkata, CUEPACS tegas dengan tuntutannya mengenai penyelarasan elaun sara hidup kepada RM300 untuk semua penjawat awam dan imbuhan tetap perumahan dinaikkan kepada RM350 dari RM180. - BERNAMA