KOTA KINABALU - Kesatuan Pekerja-Pekerja Hasil Dalam Negeri Sabah (SiREU) mahu sypaya elaun wilayah yang diperkenalkan pada 1970, dinaikkan.
Yang Dipertua SiREU, Ismail Yusuf berkata cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Bersama Lembaga LHDN Malaysia yang dipengerusikan oleh ketua pegawai eksekutif Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar esok.
"Elaun ini tidak pernah dikaji sejak 1970 dan bila agensi dipersekutukan pada 1978, tidak juga dikaji semula, jadi kini sudah tiba masanya.
"Kami sudah banyak kali mengutarakan isu ini di mesyuarat-mesyuarat berkaitan, namun kami akan berpeluang membawanya untuk perhatian ketua pegawai eksekutif yang baru," katanya.
Ismail berkata elaun wilayah ketika ini adalah antara 12 peratus dan 25 peratus daripada gaji pokok, berbeza bagi setiap peringkat jawatan.
"Kami berharap pemberian elaun wilayah ini dinaikkan sehingga 30 peratus," katanya.- Bernama