Wednesday, February 17, 2010

Kursus Kenegaraan Untuk naikan Gaji

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Biro Tatanegara (BTN) mengadakan segera kursus kenegaraan kepada guru bagi sesi 2010 untuk membolehkan mereka menikmati anjakan gaji.

Ramai guru yang masih belum disahkan jawatan bimbang kerana BTN berkemungkinan tidak mengadakan kursus, sedangkan kursus itu perlu dihadiri bagi pengesahan jawatan.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya oleh Kementerian Pelajaran atas alasan peruntukan yang tidak mencukupi.

“Guru-guru tidak berpuas hati dan marah kerana salah satu syarat diwajibkan kerajaan untuk disahkan jawatan adalah wajib menghadiri dan lulus kursus BTN.

“Apabila mereka tidak sah jawatan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu antara satu hingga tiga tahun, mereka tidak boleh membuat pinjaman rumah dan kereta, selain tidak dapat menyambung pelajaran, ini yang membimbangkan mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Lok berkata, pihaknya turut difahamkan, hanya satu kursus BTN untuk kumpulan itu yang diadakan pada tahun lalu sedangkan begitu ramai guru yang layak untuk disahkan jawatan setiap tahun.

“Kita juga sudah rujuk perkara ini kepada BTN tapi mereka hanya minta guru mendaftar terlebih dulu dan tunggu masa untuk dipanggil. Malah, ada guru yang merayu untuk mengikuti kursus itu tapi akhirnya kecewa,” katanya.

“Kita minta pihak berkaitan bertindak supaya masalah ini diselesaikan dengan baik. Kalau dasarnya perlu diadakan, maka ia patut diadakan supaya guru dapat menjalankan tugas tanpa gangguan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Tuesday, February 9, 2010

Celaka Cikgu!

KOTA BHARU: Kerana mengeluarkan perkataan ‘celaka cikgu’, seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di sini, trauma selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa ‘amuk’ seorang guru dalam kejadian pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa dikatakan baru pulang dari tandas sebelum diminta mengeluarkan buku nota oleh guru terbabit. Bagaimanapun, mangsa yang belum sempat berbuat demikian tergamam apabila guru berkenaan secara tiba-tiba menarik kerusinya hingga terjatuh sebelum menarik baju serta mencekik bahagian mulut dan belakang lehernya.


Difahamkan, guru yang mendakwa terdengar mangsa mengeluarkan perkataan biadap itu kemudian merotannya sebanyak dua kali sebelum guru besar tiba ke kelasnya.


Menurut bapa mangsa, Lua Boon Hoe, 40, dia hanya mendapat tahu perkara itu pada hari berikutnya selepas dimaklumkan anak perempuannya yang berada di tingkatan lima di sekolah sama. Katanya, dia terkejut dengan kejadian itu dan meminta anaknya itu menceritakan perkara sebenar. “Saya tidak tahu kejadian itu sehinggalah anak perempuan secara tidak sengaja menceritakan perkara itu ketika makan malam pada Jumaat lalu.


“Saya memaksanya memberitahu perkara sebenar yang berlaku pada adiknya dan dia juga ada mengambil gambar kecederaan itu menggunakan telefon bimbit sebelum kami membuat laporan polis,” katanya.


Kesal dengan kejadian itu, dia membawa anaknya membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu pada jam 1.29 pagi, Sabtu lalu

ejurus membuat laporan itu, anaknya kemudian membuat pemeriksaan perubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan diminta menunggu selama dua minggu untuk diberi laporan perubatan.


Selain itu, Lua berkata selepas membuat laporan itu dia berjumpa dengan guru besar sekolah untuk mendapatkan penjelasan dan diberitahu kejadian itu akan disiasat pihak sekolah.


Bagaimanapun, permintaannya untuk berjumpa guru terbabit ditolak dan dia hanya dibenarkan berurusan dengan guru besar saja.


“Semalam saya sekali lagi ke sekolah berjumpa dengan guru terbabit. Dia memaklumkan terdengar anak saya cakap ‘celaka cikgu’ yang dianggap biadap dan mengakui merotannya tiga kali.


“Bagaimanapun, saya kesal kerana dia berkata tiada saksi yang mendengar anak saya bercakap seperti itu kepadanya. Dia juga hanya mengaku merotan anak saya dengan perlahan tetapi tidak melakukan perkara lain termasuk mencekiknya,” katanya.


Dia berkata, selepas kejadian itu anaknya tetap ke sekolah seperti biasa tetapi masih dirundung trauma dan rasa takut.


“Saya kecewa dengan kejadian ini kerana sebagai seorang guru, dia tidak boleh bertindak demikian dan merancang mengambil tindakan undang-undang menyaman guru terbabit,” katanya. Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Ghazali Ab Rahman berkata pihaknya akan meneliti perkara itu dengan mendapatkan laporan kejadian daripada sekolah terbabit.


Katanya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap guru terbabit sekiranya didapati bersalah.

Sumber : Harian Metro