Wednesday, April 27, 2011

Guru tumbuk guru besar didenda RM2,000

27/04/2011 3:15pm

ALOR SETAR — Seorang guru dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, selepas didapati bersalah mencederakan guru besar sekolah tempat beliau mengajar lebih empat tahun lalu.

Majistret Nor Azah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap Norazman Abdul Wahab, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Norazman, 41, didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan terhadap tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk muka dan menyepak paha Halim Saad, 52, di pejabat Sekolah Kebangsaan Gerigis, Jalan Langgar, Alor Setar pada 20 Disember 2006 kira-kira pukul 8.35 pagi.

Dalam rayuannya, Norazman meminta mahkamah meringankan hukuman kerana menurutnya dia digantung kerja sejak Mac 2008, manakala dua anaknya akan memasuki universiti dan dua lagi belajar di sekolah menengah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd. Nor meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh yang merupakan pendidik supaya menjadi contoh kepada penjawat awam lain.

Peguambela Norazaman, G. Ravishankar tidak hadir dan beliau diwakili peguam Pyara Singh a/l Dara Singh.

Norazman membayar denda itu. — Bernama