Saturday, May 15, 2010

Gaji: CUEPACS serah cadangan kepada PM

KUALA LUMPUR 15 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menghargai kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menaikkan gaji penjawat awam yang rendah.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, satu kertas kerja khas yang mengandungi cadangan peratusan kenaikan gaji yang diharapkan kesatuan itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri bulan depan.

''Kertas kerja itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri selepas Majlis Kongres CUEPACS mengadakan pertemuan dari 5 hingga 7 Jun ini di Sarawak bagi membincangkan mengenai peratusan kenaikan gaji yang akan dimohon.

''Kami harap kenaikan gaji ini akan melibatkan pelbagai sektor dan jawatan dalam perkhidmatan awam,'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Najib berkata, beliau tidak sampai hati melihat gaji penjawat awam rendah dan yakin kerajaan yang diketuainya mampu meningkatkan pendapatan per kapita negara daripada RM22,400 kepada RM48,000 dalam tempoh 10 tahun.

Perdana Menteri bertekad meningkatkan pendapatan negara yang akan turut melibatkan penjawat awam bergaji minimum RM1,024 sebulan.

Menurut Omar, CUEPACS juga menyokong sepenuhnya cadangan Perdana Menteri untuk memberi ganjaran terhadap prestasi luar biasa yang ditunjukkan penjawat awam.

''Selain kenaikan gaji, cadangan Perdana Menteri itu dilihat mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan penjawat awam terutama mereka yang berkhidmat di barisan hadapan.

''Kami juga yakin pada tahun ini penjawat awam akan mendapat lebih manfaat berikutan prestasi ekonomi yang semakin baik,'' katanya.

Saturday, May 8, 2010

Guru tertekan ditemui lemas

KANGAR - Seorang guru lelaki daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi ditemui lemas selepas dikatakan tertekan apabila diarah berpindah ke sekolah baru sejak dua bulan lalu, berhampiran pantai Kuala Sungai Baru, dekat sini, semalam.

Mangsa, Zuki Ibrahim, 40, ditemui terapung di tepi pantai terbabit selepas lebih empat jam dilaporkan hilang.

Mayat Zuki ditemui orang awam kira-kira jam 1.20 petang pada jarak hampir 10 meter dari pesisir pantai Sungai Bahru selepas gerakan mencari dilakukan sepasukan anggota penyelamat.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat mangsa bagaimanapun punca kematian masih disiasat.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat dan pada masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Isteri mangsa, Noriza Kassim, 37, berkata, sebelum kejadian beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada suami yang menyuruhnya segera ke pantai Sungai Bahru, kerana dia sangat kecewa serta tertekan sehingga mahu membunuh diri.

Beliau yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah, di sini, berkata, selepas menerima SMS berkenaan, beliau terus bergegas ke tempat kejadian.

“Saya terus bergegas ke sana dan menemui kereta Proton Exora milik suami, serta beberapa barangan lain termasuk telefon bimbit yang ditinggalkan di tepi pantai.

“Saya cuba mencari suami di merata tempat bersama orang ramai, namun tidak bertemunya dan nekad membuat laporan polis.

“Akhirnya mayat suami ditemui terapung di tepi pantai berhampiran sungai oleh anggota pasukan penyelamat,” katanya.

Noriza berkata, suaminya yang baru ditukarkan daripada SMK Padang Siding ke SMK Syed Saffi dua bulan lalupernah mengadu tertekan dan tidak berpuas hati berikutan pemindahan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat, mengesahkan Zuki ditukar ke sekolah lain sejak dua bulan lalu disebabkan kenaikan pangkat dan pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripadanya berhubung pertukaran terbabit.