Monday, October 26, 2009

Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam Di Teruskan

Setelah ditunda beberapa kali kerana sebab-sebab teknikal, pihak pejabat Pelajaran Daerah dibawah kelolaan Ust Jumat Bin Yusuman telah memutuskan untuk menjalankan program Nadwah Pelajar Islam. Keputusan mesyuarat siang tadi telah mengambil beberapa ketetapan. Antaranya:

Tarikh NKI : 4 hingga 6 November 2009
Tempat : Masjid Daerah Kinabatangan
Peserta : 70 orang peserta Tingkatan 4 daripada 4 buah sekolah menengah
Yuran : RM 5.00 seorang
Fasilitator : Guru-guru Pendidikan Islam Sekolah Rendah
Makanan : Di masak oleh AJK

Semoga maklumat ini dapat mempersiapkan keperluan-keperluan dan penyertaan program tersebut.

Monday, October 19, 2009

JADUAL BELAJAR MENGAJI AL-QURAN MENGGUNAKAN KAEDAH AL-HIRA’

Program Imarah Masjid Al-Ghafar

2009

MASA

GURU

TEMPAT

CATATAN

Ahad Malam ISNIN

UST ZULKIFLI ABU BAKAR

MASJID AL-GHAFAR

Guru J-QAR

SK Kota

Selasa malam RABU

UST ABDUL QUYYUM

MASJID AL-GHAFAR

GPI SK Batu Puteh

Jumaat Malam SABTU

UST FADZILAN RASDI

MASJID AL-GHAFAR

GPI SK Sentosa Jaya

· Kelas pengajian bermula selepas maghrib. Pelajar digalakkan datang sembahyang maghrib di Masjid Al-Ghafar

· Pelajar digalakkan mempunyai buku Al-Hira’ secara peribadi bagi memudahkan pengajian

· Sebarang kemusykilan, sila rujuk guru-guru tersebut

· Kuliah Ilmu Umum adakan diadakan pada setiap hari Selasa Malam Rabu [ Selepas Solat Insya)

Saturday, October 17, 2009

Pendidikan Islam dimantapkan

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Kerajaan akan terus memantapkan pendidikan Islam dengan memperluaskan program Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) selain menjadikan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebahagian program sepanjang hayat.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk mencapai matlamat itu juga, kegiatan dakwah Islamiah akan ditingkatkan manakala tulisan jawi terus diperkasa di sekolah-sekolah.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan berpendirian pendidikan agama merupakan asas pembinaan akhlak, sahsiah dan jati diri anak-anak.

“Mesyuarat penyelarasan antara Kementerian Pelajaran,Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini bersetuju supaya program itu diperluaskan,’’ katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Ia merupakan maklum balas beliau selaku Menteri Pelajaran terhadap beberapa isu yang dibangkitkan perwakilan pada perhimpunan itu termasuk semasa Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Tambah beliau, antara program dakwah yang dimantapkan di sekolah-sekolah ialah kursus dakwah kepimpinan pelajar, tadarus al-Quran dan program solat bestari.

Katanya, setelah j-QAF diperkenalkan pada 2005, kelas pemulihan jawi telah diwujudkan bagi memulihkan murid-murid Islam yang tidak menguasai tulisan tersebut.

“Mulai 2005 hingga kini, tulisan jawi juga telah disisipkan dalam akhbar Utusan Melayu melalui usaha sama Kementerian Pelajaran,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada perwakilan yang mencadangkan agar mata pelajaran jawi diperkasakan.

Katanya, tulisan jawi memang satu elemen dalam mata pelajaran pendidikan Islam di sekolah rendah.

“Waktu pembelajaran jawi adalah dua waktu bagi tahun satu dan satu waktu bagi tahun dua hingga enam manakala di sekolah menengah, tulisan jawi diterap oleh guru-guru ketika melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran", Katanya

Wednesday, October 14, 2009

Jemputan Ke Seminar Menangkis Kejahatan Makhluk Halus

[Kaedah Merawat Santau, Saka, Sihir dan Susuk]

1. Muqadimmah

Firman Allah yang bermaksudnya:

Dan mereka (orang-orang musyrik) menjadikan jin itu sekutu bagi Allah, padahal Allah-lah yang menciptakan jin-jin itu, dan mereka membohong (dengan mengatakan): "Bahwasanya Allah mempunyai anak laki-laki dan perempuan", tanpa (berdasar) ilmu pengetahuan[495]. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari sifat-sifat yang mereka berikan.

Manusia dan jin dijadikan oleh Allah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Namun demikian, ramai manusia yang ingkar kepada titah perintah Allah dengan cara melakukan kerosakkan. Begitu juga jin, mereka yang jahat selalu melakukan kerosakkan dan mengganggu manusia sehingga menyusahkan hidup manusia.

Akhir-akhir ini, Kinabatangan digegarkan dengan banyak kes rasukan yang berpunca daripada 4S iaitu Santau, Saka, Sihir dan Susuk. Bahkan serangan ini bukan sekadar menyerang individu tetapi juga menyerang dalam bentuk kumpulan seperti mana yang berlaku terhadap beberapa buah sekolah di daerah ini. Beberapa orang perawat daerah ini terpaksa berkerja lebih untuk membantu para pesakit sehingga rutin hidup mereka juga turut terganggu.

Gangguan jin ini mudah terkena kepada kita kerana benteng (pagar) diri yang lemah, kadang-kadang tidak ada langsung. Ianya memudahkan berlakunya gangguan. Hari ini, manusia sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk memagar rumah mereka demi menjaga keselamatan mereka tetapi jarang yang menyediakan kewangan untuk memagar diri mereka daripada gangguan makhluk halus yang sentiasa bersedia mengganggu manusia.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Guru Pendidikan Islam Kinabatangan [PGPIK] dengan kerjasama JHEAINS Kinabatangan telah mengambil inisiatif menganjurkan KURSUS RAWATAN ISLAM [Kaedah Merawat Santau, Saka, Sihir dan Susuk] demi mewujudkan bi’ah salimat dalam kehidupan harian kita.



2. Objektif

2.1 Membantu masyarakat memahami kaedah-kaedah menangkis kejahatan makhluk halus

2.2 Melatih dan Melahirkan perawat-perawat yang mengamalkan kaedah perubatan Islam menggunakan ayat-ayat suci Al-Qur'an dan doa-doa terpilih

2.3 Menyediakan perawat Islam yang menepati Syariat Islam pada setiap kampong dan jabatan bagi menangani masalah gangguan di tempat masing-masing

2.4 Membersihkan amalan-amalan khurafat dan ajaran sesat dalam pengamalan perubatan Islam

2.5 Sebagai wasilah penerusan ilmu daripada tuan guru kepada pelatih/perawat dengan harapan ilmu perubatan yang diijazahkan kelak akan digunakan untuk membantu masyarakat

2.6 Membuka medan dakwah melalui rawatan Islam

2.7 Meringankan bebanan ahli-ahli agama dan membuktikan ajaran Islam sesuai untuk semua kelompok manusia

3. Anjuran

Persatuan Guru-Guru Islam Kinabatangan (PGPIK) dengan kerjasama JHEAINS Kinabatangan

4. Pengendali

Ust Sarhan Safie Al-Tobibi dan 3 orang pembantunya

(Perawatan Kaedah Islam Tersohor)

5. Tarikh

31 OKTOBER hingga 01 November 2009

6. Tempat

Bilik Mesyuarat Jabatan Perhutanan, Kinabatangan

7. Sasaran Peserta

Seramai 50 orang peserta yang terdiri daripada;-

7.1 Wakil-wakil jabatan terutama institusi Pendidikan

7.2 Wakil-wakil masjid dan kampong

7.3 Pimpinan masyarakat

7.4 Belia dan beliawanis

8. Yuran Penyertaan

Enam Puluh Ringgit Sahaja (RM60 seorang )

[Fail, sijil dan bahan Kursus]

9. Syarat-syarat Peserta

9.1 Terbuka kepada semua yang berusia tidak kurang dari 18 tahun (lelaki & perempuan)

9.2 Boleh membaca Al-Quran dengan lancar dan baik

9.3 Tidak merokok

9.4 Tidak mengamalkan ilmu yang bercanggah dengan syariat Islam

10. Cara pendaftaran

10.1 Peserta terawal mendaftar akan diberi keutamaan sekiranya peserta melebihi target penganjur

10.2 Peserta yang sah ialah peserta yang telah membayar yuran penyertaan dan diakui oleh pihak penganjur

10.3 Peserta tidak dibenarkan menarik diri setelah membuat akuan setuju untuk menyertai seminar ini.

10.4 Untuk maklumat lanjut sila berhubung dengan Ust Zaidi (019-5850151) dan imam Kadir Jailani (013-8920513)

11. Penutup

Kami amat berharap program yang dirancangkan ini dapat direncanakan dengan jayanya. Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Semoga munafaat kursus ini dapat ditebar luaskan demi kemaslahatan umat manusia dan juga kesejahteraan makhuk-makhluknya.

Disediakan Oleh

Ust Mohd Zaidi Mustafa

Pengerusi

Persatuan Guru Pendidikan Islam Kinabatangan (PGPIK)

Tuesday, October 6, 2009

Guru Saman Pengetua

Assalamualaikum.

Semoga menjadi ikhtibar kepada kita semua.


Dipetik dari Utusan Malaysia, 6 Oktober 2009

06/10/2009 7:01pm


KUANTAN 6 Okt. — Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang di sini mengemukakan saman RM228,000 terhadap pengetua sekolah terbabit kerana didakwa menjejaskan reputasinya.

Rozilah Abdullah, 37, yang memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini melalui Tetuan Balkhis Alias & Co pada 12 Ogos lepas menamakan pengetua, Aluwiyah Osman sebagai defendan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada hari ini, namun Hakim Hassan Abdul Ghani kemudian menetapkan 5 Nov. ini sebagai sebutan semula selepas wakil Pejabat Peguam Negara memohon tempoh masa untuk memfailkan penyataan balas terhadap tuntutan saman berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Rozilah mendakwa pada 24 Julai tahun lepas, defendan memalukannya di hadapan guru lain dengan menuding jari ke arahnya serta menyatakan beliau enggan mematuhi perintah defendan.

Rozilah mendakwa defendan telah membuat satu laporan terhadapnya dan berikutan itu seorang kaunselor daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan memanggilnya ketika beliau sedang mengajar memaklumkan satu laporan telah dibuat terhadapnya.

Rozilah, yang telah bertugas selama 13 tahun sebagai guru, mendakwa akibat laporan defendan, beliau telah menerima surat bertarikh 13 Feb. 2009 yang menyatakan tiada pergerakan gaji bagi beliau untuk tahun 2009.

Beliau juga mendakwa tidak pernah diberikan peluang membela diri kerana tidak dipanggil atau diberikan peluang menjawab laporan yang dibuat oleh ketuanya itu - Bernama

Penempatan Semua Lepasan Pendidikan Ke Sekolah Akan Dibekukan Mulai 2010!

Profesor Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengeluarkan kenyataan semua penempatan lepasan UPSI ke sekolah-sekolah terpaksa dibeku bermula 2010.

Kenyataan tersebut dipetik dalam ucapan perasmian yang disampaikan beliau dalam 'Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia' anjuran Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang berlangsung di Bilik Seminar Bitarasiswa semalam.

Dalam pada itu katanya, pembekuan semua penempatan ke sekolah-sekolah ini dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melibatkan semua institusi yang mengeluarkan bakal-bakal guru bukan sahaja di UPSI malah di IPTA lain yang menawarkan program pendidikan termasuk Institut Perguruan (IPG) di seluruh negara berikutan masalah kewangan yang dialami pihak Kerajaan Malaysia.

Beliau pada awalnya mengambil langkah untuk tidak mengumumkannya kepada pelajar kerana bimbang menjejaskan motivasi pelajar untuk meneruskan pengajian namun bertukar fikiran dengan mengumumkannya semalam kerana beranggapan perkara tersebut harus diketahui semua pihak sebagai langkah persediaan.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan penempatan untuk graduan pada tahun ini tidak mengalami masalah kerana tindakan membekukan penempatan tersebut hanya bermula tahun hadapan.

Beliau walau bagaimanapun tidak mengeluarkan kenyataan bertulis berkenaan perkara tersebut dan hanya diselitkan dalam ucapan perasmiannya semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang mahasiswa UPSI mendakwa menerima mesej melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) daripada rakannya dari sebuah IPG mengatakan perkara yang sama minggu lalu. Katanya dalam e-mel yang dihantar ke upsikini@gmail.com, pelajar terbabit mengatakan keluaran UPSI dan IPTA lain yang tamat pengajian bermula tahun hadapan, perlu menunggu selama 2 tahun sebelum ditempatkan ke sekolah-sekolah.

Tambahnya, pelajar IPG yang dijadual ditempatkan ke sekolah-sekolah pada tahun hadapan akan diawalkan penghujung tahun ini bersama-sama dengan keluaran UPSI dan IPTA lain yang bergraduat pada tahun ini.

Keadaan ini menurutnya mempunyai kaitan dengan masalah yang berlaku apabila lambakan graduan pendidikan di seluruh negara.

Mengulas tentang perkara tersebut, Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nur Aqilah Hanis berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan perkara tersebut daripada TNC Akademik sendiri supaya tidak berlaku kekeliruan.

“Isu ini boleh menjadi isu nasional, bukan hanya melibatkan UPSI sahaja, jadi lebih baik kalau saya dapatkan dulu penjelasan secara terperinci daripada Prof. Dr. Zakaria dan Bahagian Akademik supaya maklumat sebenar dan tepat diperoleh sebelum saya mengulas lanjut.

“Kita tak mahu isu ini menjadi sebab untuk kita bertelagah, apa yang penting selepas kita mendapatkan maklumat tersebut, kita akan fikirkan penyelesaiannya. Jadi semua pihak diharap dapat bersabar”, jelasnya.

Sumber:
http://upsikini.blogspot.com/2009/10/tnc-penempatan-ke-sekolah-dibeku.html