Friday, May 22, 2009

Guru diploma dapat durian runtuh

KUALA LUMPUR 21 Mei – Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) berpeluang menikmati skim perkhidmatan lebih baik apabila kerajaan mengumumkan kenaikan pangkat dan pertambahan kuota Guru Cemerlang sehingga 1,486 bagi pelbagai gred berkuat kuasa serta merta.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak pernah melupakan guru diploma.

‘‘Hari ini kita umumkan pula untuk PPPLD, berkuat kuasa serta merta jadi saya harap mereka berpuas hati,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-51 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan guru bukan siswazah cuma pengumuman kenaikan pangkat itu didahulukan kenaikan pangkat dan tambahan Guru Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

Berita gembira untuk PPPS itu diumumkan pada sambutan Hari Guru 2009 Peringkat Kebangsaan di Terengganu, 16 Mei lalu.

Pada sambutan Hari Guru itu, Muhyiddin telah meluluskan pertambahan 2,141 kuota untuk jawatan Guru dan Pengetua Cemerlang bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) siswazah di sekolah menengah berkuat kuasa serta merta.

Beliau juga berkata, kerajaan juga bersetuju mewujudkan 1,910 jawatan Guru Cemerlang bagi PPP Siswazah yang berkhidmat di sekolah rendah.

Ekoran daripada pengumuman itu, guru PPLD telah menyatakan rasa kecewa mereka termasuk menghantar surat ke ruangan Forum Utusan Malaysia kelmarin.

Masalah yang sama turut dibangkitkan oleh Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Mohd. Sabri Mohd. Arshad baru-baru ini yang mendakwa kerajaan ‘tidak bersikap adil’ terhadap guru bukan siswazah yang sudah lama berkhidmat di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Tuesday, May 12, 2009

Mesyuarat Pentakziran Berasaskan Sekolah di SMK Sri Lamag

Baru sahaja selesai mesyuarat Pentaksiran Berasasakan Sekolah (PBS) yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat SMK Sri Lamag.

Mesyuarat yang beberapa kali telah ditunda kerana masalah teknikal ini berlangsung di dalam keadaan penuh ceria kerana buat pertama kalinya guru-guru Pendidikan Islam peringkat sekolah menengah dapat berkumpul dan berbincang bagi menyelesaikan tanggungjawab terhadap pelajar mereka.

Mesyuarat yang julung-julung kali diadakan ini dipengerusikan oleh Ust Sabri Awang Teh, selaku Pengerusi Pasukan Kerja Pendidikan Islam daerah. Beliau telah melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada GPI yang hadir kerana beliau telah beberapa kali berusaha untuk mengadakan program ini.

Mesyuarat ini diisi dengan pengisian dan pembentangan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dikendalikan oleh Ust. Mohd Zaidi Mustafa, Ketua Pentaksiran Kawasan. Ustazah Fatimah dilantik sebagai setiausaha mesyuarat dan seterusnya akan bertindak sebagai setiausaha Pasukan Kerja Pendidikan Islam Peringkat sekolah Menengah.

Mesyuarat PBS ini memutuskan bahawa:-
1. PAFA dihabiskan di peringkat Tingkatan 1 dan 2, bagi mengurangkan bebanan Guru Tingkatan 3 dalam menyiapkan PBS
2. Ayat-ayat hafazan PBS dihafaz dan diberi penekanan dari tingkatan 1 dan 2. Guru Tingkatan 3 hanya menguji dan menjayakan PBS
3. Menyediakan Buku Rekod PAFA dan PBS peringkat daerah
4. Menyediakan borang kajian keupayaan dan penguasaan Al-Quran pelajar-pelajar tingkatan 3. Ini bertujuan mendapatkan statistik masalah buta dan sepek Al-Quran di daerah Kinabatangan. Kajian terhadap pelajar Tingkatan 3 di 4 buah sekolah Menengah Kinabatangan.

5. Menyelaraskan soalan PBS peringkat daerah
6. Menjadikan ayat hafazan PBS sebagai doa permulaan belajar bagi pendidikan Islam
7. Sistem Fail PBS dikemaskinikan dan senang dirujuk oleh Ketua Pentaksir
8. Pelaksanaan pentaksiran dimulakan pada awal tahun

Perkara-perkara lain turut diputuskan
1. Penyelarasan RPH
2. Menubuhkan pasukan pembina soalan peringkat daerah
3. Membuat Bush Jaket [lelaki]dan Jubah [perempuan] bagi GPI
4. Perkongsian bahan P & P

Jutaan terima kasih kepada pihak SMK Lamag atas kesudian menjadi tuan rumah dan usaha Ustazah Idayati Ismail (ketua Panitia) yang bertungkus lumus menjayakan mesyuarat dan taklimat ini.

Thursday, May 7, 2009

Telefon bimbit di sekolah

GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.

GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.

Ini dibuktikan dengan beberapa kejadian membabitkan pelajar dan penyebaran video lucah serta buli yang dirakam menggunakan telefon bimbit di sekolah.


Kini, isu membawa telefon bimbit ke sekolah mendapat perhatian ramai sehingga kementerian mengeluarkan arahan kepada sekolah supaya merampas daripada pelajar dan hanya dikembalikan jika ibu bapa atau penjaga menuntutnya.

Persoalannya, adakah tindakan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah semata-mata untuk menyebarkan unsur negatif?

Benarkah tumpuan mereka dalam pelajaran 100 peratus terganggu hanya kerana telefon bimbit?

Sesetengah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan turut membawa telefon bimbit ke sekolah.

Selain itu, adakah pelajar sendiri berkeras mahu membawa telefon bimbit ke sekolah atau diminta ibu bapa?

Pelajar sekolah menengah perempuan di Kuantan, Pahang, Nur Atiqah Najwa Zainuddin, 18, berkata dia membawa telefon bimbit ke sekolah bukan untuk menyebarkan perkara negatif, tetapi memudahkan berhubung dengan keluarga dan rakan.

Menurutnya, pelajar terikat dengan jadual waktu pembelajaran dan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jika ada maklumat atau perubahan, mereka boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi keluarga dengan pantas.

“Sebagai pelajar, kami ada kelas tambahan serta aktiviti kokurikulum selepas tamat waktu persekolahan.

“Jika ada kelas tambahan atau aktiviti kokorikulum pada saat akhir, kami dapat memaklumkan kepada keluarga, jadi ibu bapa pun tidak risau,” katanya.

Katanya, membawa telefon bimbit satu langkah keselamatan terutama selepas tamat waktu persekolahan dan di luar sekolah.

“Tidak semua pelajar dijemput ibu bapa atau menaiki bas sekolah, ada terpaksa menggunakan pengangkutan awam ke rumah.

“Dengan menggunakan telefon bimbit, kami boleh menghubungi keluarga atau penjaga jika menghadapi masalah,” katanya.

Menurutnya, telefon bimbit bukan digunakan sepanjang masa, jika waktu pembelajaran, ia akan dimatikan bagi menumpukan kepada pengajaran guru.

“Soal fokus kepada pembelajaran tidak timbul jika mempunyai telefon bimbit kerana kami tahu bila untuk menggunakan kemudahan itu.

“Masyarakat jangan fikirkan soal negatif kerana banyak manfaat telefon bimbit kepada kami,” katanya.

Atiqah mengakui, sebagai pelajar perempuan, mempunyai sesuatu benda yang lebih terkini dan canggih daripada rakan sekelas adalah satu kebanggaan.

“Setiap hari, kami sesama pelajar akan sentiasa menunjukkan benda baru melalui telefon bimbit terutama lagu terkini.

“Kami sekadar bertukar pendapat, bukan menyalahgunakan kemudahan itu,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd Yusrie Mohamed Satar, 43, berkata pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana ia keperluan dan langkah keselamatan jika mahu menghubungi keluarga.

“Saya sendiri lebih mudah menghubungi anak jika hari itu mungkin datang lewat untuk mengambil dia di sekolah.

“Isu telefon bimbit di sekolah ada pro dan kontra, tetapi masyarakat perlu melihat daripada aspek positif termasuk peningkatan jenayah terutama membabitkan pelajar sekolah.

“Jika berlaku kes kecemasan selepas waktu persekolahan, apa cara untuk menghubungi jika tidak membawa telefon bimbit?

“Telefon bimbit masa kini adalah keperluan, bukan barangan mewah atau sekadar untuk bergaya,” katanya.

Mengenai penyalahgunaan dan mengganggu tumpuan pelajar di bilik darjah, bapa kepada tiga orang anak ini meminta guru kelas memantau dan mengambil tindakan keras jika pelajar bersalah.

“Guru boleh mengarahkan pelajar mematikan telefon bimbit dan meletakkannya di meja guru sepanjang sesi pembelajaran.

“Atau pihak sekolah boleh melarang penggunaan telefon bimbit sepanjang sesi persekolahan dan hanya boleh digunakan selepas waktu persekolahan,” katanya.

Sunday, May 3, 2009

Kerana Tarikh, Guru Sengsara

KUALA LUMPUR: Perbezaan tarikh lantikan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membuatkan sebahagian besar guru negara ini terlepas peluang kenaikan pangkat.

Malah, tarikh lantikan itu juga mengundang pelbagai kontroversi kerana ia dibuat pada hari cuti umum iaitu pada 1 Januari 2004.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan berkata ramai guru menerima surat tawaran lantikan kenaikan pangkat bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG 41 ke Gred DG 44 lima tahun lalu.

“Masalahnya ialah surat pelantikan dikeluarkan kementerian itu bertarikh 1 Januari dan ia serentak hari cuti umum sempena tahun baru.

“Manakala surat pekeliling SPP pula bertarikh 2 Januari, maka wujud percanggahan di sini kerana perselisihan itu mengakibatkan kebanyakan guru kehilangan hak serta faedah sepatutnya diterima,” katanya.