Friday, January 30, 2009

Alahai.... Mau Kaya Cepat , Guru

Ingatkan isu ni dah selesai... ada lagi manusia yang mahu kaya cepat. Panjat kepala, robek poket kawan. Kerja hina dipandang ekslusif ini.. Cukuplah tuan.Cukuplah...

Apa yang mendukacitakan, saya difahamkan PPD sebut dalam mesyuarat dengan guru besar, ustaz ramai terlibat skim cepat kaya. Malu kita murabbi ummah. Pada hal, bukan ustaz je. Cikgu pun ramai, itu tidak dikira dengan mereka yang berwajah ustaz... kita tidak boleh ketogori atau perbesarkan ustaz je. Berita dibawah hakikatnya. Ustaz ada juga yang cair hati bila ditawarkan kekayaan. Siapa tak mahu kaya? Cukuplah..........

50,000 kakitangan awam terjebak skim cepat kaya

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Ancaman baru dalam perkhidmatan awam. Itu gambaran penglibatan kira-kira 50,000 kakitangan awam di seluruh negara dalam skim cepat kaya.

Umpama wabak mudah berjangkit, keadaan itu bertambah buruk apabila ada kalangan pegawai atasan termasuk ketua jabatan turut terlibat menganjurkan skim tersebut.

Penglibatan pegawai atasan itu menyebabkan ramai kakitangan bawahan terjebak secara rela atau 'terpaksa' sehingga menghimpunkan angka sebesar itu.

Malah bagi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman, beliau tidak terkejut sekiranya jumlah kakitangan awam yang terlibat dengan skim itu lebih ramai.

"Bagi CUEPACS kita tidak terkejut sekiranya jumlah itu mungkin lebih lagi, ya lah semua tahu bagaimana 'berhantu' skim ini, ramai yang boleh terpengaruh termasuk rakyat yang bijak pandai.

"Berdasarkan maklumat kita, dalam perkhidmatan awam dari atas, tengah sampai ke bawah terlibat.

''Jadi saya harap tindakan segera diambil, jangan sampai terlambat sehingga mengancam kakitangan awam kita," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Skim cepat Kaya tajaan Yahudi..BOikot.....

Berikutan kebimbangan ancaman skim cepat kaya, Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 2/2009, yang berkuat kuasa 13 Januari lalu dikeluarkan.

Ia bertujuan melarang kakitangan awam di semua peringkat daripada membabitkan diri dalam skim itu sama ada sebagai penganjur, pengantara atau pelabur.

Pekeliling itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam.

Pekeliling turut meliputi kakitangan badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan negeri.

Mereka yang terbabit dalam skim berkenaan diarah menghentikan aktiviti itu serta-merta atau berdepan tindakan disiplin.

Omar menambah, dalam hal ini Cuepacs sedia bekerjasama dengan JPA khususnya untuk menyalurkan maklumat yang diperlukan.

Katanya, masih ramai yang tidak berani tampil mendedahkan hal tersebut secara rasmi kerana bimbang diambil tindakan dan sebagainya.

"Saya harap kita cari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan semua. Jangan bila ada yang dedah, kita yang kena, orang atas yang terlibat sama tak kena pula. Itu yang mereka takut.

"Jadi setidak-tidaknya apabila JPA keluarkan pekeliling memberi peringatan mengenai hal ini, CUEPACS sememangnya menyokong. Ia jadi satu penegasan jelas supaya kita tidak terlibat," jelasnya.

Sementara itu, Ismail memberitahu, pekeliling tersebut dikeluarkan untuk mengingatkan lebih satu juta kakitangan awam agar tidak terlibat dengan gejala ini.

Kata beliau, ini bukan bermakna skim cepat kaya telah menular dengan meluas di kalangan kakitangan awam tetapi langkah awal untuk pencegahan.

"Saya tiada angka sebenar tentang berapa ramai yang terlibat. Cuma kalau nak dianggarkan, saya percaya jumlahnya tidak mencapai angka yang boleh dianggap besar.

"Selain pekeliling, kakitangan awam turut terikat dengan peraturan disiplin yang lain. Saya harap mereka faham," ujarnya.

Monday, January 19, 2009

Betul ke?? Kakitangan awam mangsa terbanyak ‘Skim Cepat Kaya’

Gabungan Anak-Anak Peribu-mi Pedalaman (Peribumi) mendedahkan 90 peratus mangsa skim cepat kaya di daerah ini dikalangan penjawat awam.

“Rekod kami mendapati guru-guru sebagai golongan yang paling terjejas,” jelas Peribumi dan memberitahu, guru-guru juga didapati sebagai mentor perniagaan tersebut di sini.

Peribumi memberitahu, beberapa tahun yang lalu ramai guru-guru menjadi mentor kepada se-buah skim cepat kaya melalui ‘Skrin Komputer’.

“Dan guru-guru juga golongan yang paling ramai tertipu,” dedah kelab itu.

Organisasi penyokong dasar-dasar kerajaan itu menjelaskan, hanya kira-kira 8 peratus kalangan berpendapatan rendah terlibat dalam perniagaan atas angin tersebut.

“Kalangan berpendapatan rendah atau mereka yang miskin tidak berpeluang untuk menyertai skim tersebut, kerana mereka tidak mampu berbuat demikian,” tambah kelab itu.

Mengulas mengenai serbuan Bank Negara Malaysia (BNM) pada selesa lalu ke atas pejabat firma pelaburan Gemilang Mirza Sdn. Bhd, Peribumi berkata, BNM perlu lebih tegas untuk melumpuhkan kegiatan-kegiatan haram seperti itu.

“Ia bukan sebuah, tetapi lebih banyak lagi kegiatan-kegiatan serupa sedang beroperasi dengan menggunakan pelbagai helah termasuk mengeksploitasi segala bentuk bahan untuk mempedaya pelanggan,” jelas Peribumi.

Memetik cadangan Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH), yang mahu sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi tujuan memantau kegiatan serupa, Peribumi menjawab:

“Ia tidak memadai selagi sikap orang ramai masih menjurus untuk ingin cepat kaya,”.

Peribumi berkata, kesedaran amat penting untuk melahirkan insan yang boleh berjaya tanpa melalui skim cepat kaya.

Menurut kelab itu, institusi kewangan perlu menonjolkan diri kepada masyarakat mengenai fungsi sebenar, untuk membantu rakyat dan bukan sekadar mengajar mereka untuk meminjam, kemudian menghukum mereka dengan pelbagai kaedah ‘senarai hitam’, selepas gagal menjelaskan pinjaman.

“Masalah ini mengheret rakyat untuk meminjam dengan along dan menyertai skim cepat kaya. Ia berpunca daripada kita,” jelas kelab itu. –NST

Saturday, January 17, 2009

Dua kakitangan Tabung Haji Sandakan Di Gantung Tugas

Assalammualaikum,
Berita kurang menyenangkan bagi kita pelanggan tetap Tabung Haji Sandakan. Berita ini diharapkan tidak memberi kesan kepada kita pelanggan setia ini. Kita juga berharap mereka tidak bersalah dan kalau betul itu silap...kesilapan itu adalah kesilapan yang mereka tidak sengajakan. Semoga Tabung haji terus berdaya saing dan bersih daripada penyelewengan. Cukuplah Tabung haji rugi dalam pelaburan di Indonesia dan usaha untuk menaikan tambang Haji pada tahun hadapan. Bersihkan dari korupsi dan salah urus

KOTA KINABALU 17 Jan. - Dua kakitangan Tabung Haji cawangan Sandakan telah digantung kerja kerana disyaki terbabit mengeluarkan wang pendeposit sebanyak RM300,000 secara tidak sah pada musim haji lepas.

Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Abdul Rashid Hussein berkata, Tabung Haji sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes itu.

“Buat masa ini, kami membuat siasatan dalaman. Kes ini sangat serius dan kami akan membuat laporan polis selepas mendapat pengesahan penasihat undang-undang Tabung Haji,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Tabung Haji Bersama Media di sini hari ini. - Bernama

Friday, January 9, 2009

Tuduhan khalwat ustazah ditarik balik

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Pihak pendakwa syarie hari ini menarik balik pertuduhan khalwat yang dikenakan terhadap seorang ustazah dan pasangannya, ketua jabatan di sebuah institut latihan pendidikan terkenal setelah berpuas hati mereka tidak terbabit dengan perbuatan tidak bermoral.

Jamilah Ab. Aziz, 39, dan Mohd. Dawi Ithnin, 51, yang juga seorang pensyarah bagaimanapun diberi amaran keras supaya tidak mengulangi perbuatan itu pada masa hadapan.

Pendakwa syarie, Che Saupi Che Husin memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pihaknya menarik balik pertuduhan itu selepas berpuas hati dengan surat representasi yang dikemukakan oleh peguam syarie, Mohd. Noor Bahari yang mewakili kedua-dua tertuduh.

Menurut Che Saupi, setelah meneliti dan menganalisis surat representasi tersebut, pihaknya berpuas hati Jamilah dan Mohd. Dawi hadir ke tempat kejadian bukan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral.

''Kami ingin mengingatkan kedua-dua tertuduh, berdasarkan latar belakang kerjaya dan pendidikan, mereka tidak sepatutnya melakukan perbuatan tersebut,'' katanya.

Berikutan itu, Hakim Syarie, Mohamad Shakir Abdul Hamid memerintahkan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan membenarkan permohonan peguam syarie supaya wang jaminan RM1,000 bagi setiap tertuduh dikembalikan.

Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 11 November lalu, tiada pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh-tertuduh selepas Mohd. Noor memohon penangguhan bagi membolehkan pihak pendakwaan mempertimbangkan representasi yang dikemukakan.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Jamilah yang merupakan ibu tunggal kepada dua orang anak mengucapkan kesyukuran bahawa kes itu telah selesai.

''Syukur Alhamdulillah, tuduhan ini digugurkan kerana saya rasa saya tidak bersalah,'' katanya.

Mohd. Dawi pula mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran dan institut tersebut kerana mempercayai kakitangan mereka dan bertindak secara profesional.

''Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana membuat laporan untuk membersihkan nama kami semula,'' katanya.

Monday, January 5, 2009

STAM diiktiraf setaraf STPM

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), akan dinaik taraf setanding Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sekali gus menjadikannya sebahagian kurikulum kebangsaan.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataannya di sini, semalam, berkata beliau sendiri akan memastikan beberapa pindaan dibuat pada Peraturan-Peraturan Kurikulum dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi membolehkan mana-mana mata pelajaran STAM dimasukkan dalam Kurikulum Kebangsaan.

Selain itu, Hishammuddin berkata, beberapa tindakan susulan akan dijalankan segera termasuk mewujudkan norma perjawatan, menyediakan geran perkapita bagi setiap mata pelajaran dalam STAM dan menyediakan peruntukan khas bagi membolehkan guru yang mengajar STAM diberikan kursus sewajarnya.

“Dianggarkan peruntukan RM2,105,100 setahun diperlukan bagi melaksanakan usaha itu.


“Buat permulaan, satu surat kelulusan pengiktirafan akan dikeluarkan kementerian kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan mereka membuat persediaan sewajarnya terutama menentukan skim yang sesuai dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Hishammuddin berkata, langkah menaik taraf STAM amat penting berikutan ia hanya diterima sebagai syarat kemasukan ke Universiti Al-Azhar, Mesir dan beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini.

“Justeru, saya kira status STAM belum memadai dan lantaran itu STAM perlu diperkasa dan dinaik taraf bagi membolehkannya diiktiraf sebagai sijil paling tinggi dalam bidang agama di peringkat sekolah.

“Dalam konteks ini, saya berkeyakinan untuk menaik taraf dan memperkasakan STAM, ia perlu dijadikan sebahagian kurikulum kebangsaan dan bagi membolehkannya dijadikan sebagai syarat lantikan dalam perkhidmatan awam, ia perlu dinaik taraf sama seperti STPM,” katanya.

Friday, January 2, 2009

Guru berang ditukar sekolah

Guru berang ditukar sekolah
Oleh Zulfa Mohamad
zulfa@hmetro.com.my

BUKIT MERTAJAM: Seorang guru lelaki sebuah sekolah menengah dekat sini, tiba-tiba menjerit ke arah sekumpulan guru yang sedang bermesyuarat sambil menghentak meja beberapa kali menyebabkan mereka terkejut, semalam.

Guru berusia 30-an itu bertindak meluru masuk ke bilik mesyuarat pada jam 9.30 pagi ketika pengetuanya sedang berbincang dengan lebih 40 guru lain.

Menurut sumber, sebaik masuk ke bilik mesyuarat, guru lelaki itu menghentak meja, kerusi dan almari sambil menjerit ke arah kumpulan guru berkenaan.

Katanya, guru berkenaan dipercayai mahu menjadikan pengetua sekolah sebagai sasaran tetapi tindakannya menghentak meja menyebabkan semua guru terkejut dan ketakutan.


“Berikutan itu, seorang guru wanita cedera ringan di tangan kerana terkena objek yang melantun akibat tindakan guru berkenaan menghentak meja,” katanya.

Ketika kejadian, tiada pelajar di sekolah itu berikutan sedang bercuti dan sesi persekolahan hanya bermula Isnin ini.